KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyokong langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Peperiksaan SPM Tahun 2024.
Setiausaha Agong NUTP, Fouzi Singon berkata, pihaknya menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk meneruskan peperiksaan SPM tersebut.
"Pihak KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah bertungkus lumus dari awal iaitu bermula dengan membina soalan, mencetak kertas peperiksaan, agihan, pelaksanaan peperiksaan, penandaan kertas peperiksaan dan sehingga tarikh mengumumkan keputusan peperiksaan juga telah diambil kira dengan berhati-hati.
"Justeru itu, tidak boleh sesuka hati membuat sebarang pindaan atau perubahan tambahan pelbagai pihak terlibat dalam menyusun dan mengatur peperiksaan SPM ini,” katanya pada Isnin.
Tegas Fouzi, tarikh peperiksaan juga telah diselaraskan dengan pihak pengajian lanjutan selepas peperiksaan SPM.
Selain itu, jumlah kertas peperiksaan yang terlalu banyak juga perlu diambil kira. Jika isu banjir, peperiksaan SPM perlu ditunda maka perlu dilihat juga tempoh berapa lama perlu diambil untuk penjadualan semula.
Tambahnya, Ops Payung yang dirancang telah menempatkan calon-calon yang terjejas akibat banjir di beberapa asrama yang terpilih.
"Secara keseluruhannya seramai 402,956 calon yang mendaftar di 3,337 pusat peperiksaan serta melibatkan 126,636 orang petugas sedia maklum akan perkara ini,” katanya.
Jelasnya, peperiksaan bertulis seperti di dalam takwim peperiksaan akan diadakan pada 2 Januari hingga 6 Februari 2025.
"Ketika itu diharapkan keadaan banjir akan pulih seperti biasa. Perkara-perkara ini perlu diambil kira oleh pihak KPM dan LPM. Oleh itu, rungutan berkaitan dengan buku rujukan dan pakaian adalah tidak relevan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, KPM cakna akan keselamatan dan kebajikan calon dan petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir semasa peperiksaan berlangsung.
"KPM juga sentiasa siap siaga dan mengambil langkah persediaan yang sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi Kerajaan lain yang berkaitan.
”Sudah tentunya KPM komited dengan mengambil langkah-langkah yang terbaik bagi memastikan Peperiksaan SPM berlangsung dengan lancar dan teratur,” katanya.
Ujarnya, NUTP amat berharap masyarakat tidak mempolemikkan isu banjir ini agar suasana akan lebih harmoni dan mereka yang terlibat dengan banjir tidak ditambah beban dan emosi mereka.
"Semoga semua mangsa banjir dalam kalangan guru dan murid bersabar dan tenang menghadapi dugaan ini.
"Musibah banjir datang dan pergi, namun perjuangan anakanak calon SPM harus diteruskan dengan penuh tabah dan semangat juang yang tingg,” katanya.