PUTRAJAYA - Malaysia dan Timor-Leste memperluas kerjasama melalui peningkatan kolaborasi dalam pendidikan, pembinaan kapasiti serta pertahanan bagi memperkukuh hubungan dua hala selain mempromosi kestabilan serantau.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Kay Rala Xanana Gusmao menekankan kepentingan program pembinaan kapasiti serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai alat penting bagi pembangunan kerjaya selain menyokong pertumbuhan ekonomi di peringkat individu mahupun komuniti.
Bagi mencapai matlamat ini, Malaysia berjanji menyediakan biasiswa, kursus dan latihan khusus di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap aspirasi keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN.
Kedua-dua pemimpin turut menyambut baik Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 28 Ogos lepas antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Dana Pembangunan Modal Insan Timor-Leste (FDCH).
"MoU itu akan memudahkan mobiliti penerima biasiswa Kerajaan Timor-Leste untuk melanjutkan pengajian mereka di Malaysia.
"Bagi terus memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan pembinaan kapasiti, kedua-dua pemimpin menantikan pemeteraian MoU mengenai Pendidikan Tinggi dalam masa terdekat,” menurut itu yang dikeluarkan sempena lawatan rasmi pertama Xanana Gusmao ke negara ini.
Beliau tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari iaitu yang pertama sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Timor-Leste pada 1 Julai 2023.
Kerjasama pertahanan dan keselamatan turut diketengah dalam perbincangan kerana kedua-dua negara mengiktiraf kepentingan inisiatif bersama seperti di bawah Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) dan pasukan pengaman.
"Kedua-dua negara setuju memperkukuh kerjasama sedia ada dan meneroka bidang kerjasama baharu. Berbekalkan matlamat memajukan kerjasama pertahanan, kedua-dua pemimpin menantikan pemeteraian MoU mengenai Kerjasama Pertahanan dalam masa terdekat untuk kolaborasi yang lebih luas,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk terlibat secara aktif dalam acara pertahanan utama seperti Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) bagi memupuk kerjasama dalam industri pertahanan. - Bernama