BEKAS peragawati dan pelakon terkenal, Zahnita Wilson mengejutkan ramai apabila mendedahkan wajahnya yang lebam di bahagian mata menerusi hantaran terkini dimuat naik di Instagram miliknya.
Enggan lagi terus berdiam diri, Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson berkata, dia terpaksa mendedahkan perkara itu kepada umum sekali gus menjawab persoalan ramai mengapa sering memakai cermin mata hitam.
"Saya tidak mahu melakukan ini, tetapi saya terpaksa. Ini adalah sebab kenapa saya tinggalkan rumah lama saya dan juga menjadi sebab kenapa saya selalu pakai cermin mata hitam,” tulisnya.
Dua hari sebelum membuat pendedahan mengejutkan itu, wanita berusia 39 tahun berkenaan berkongsi mengenai perpindahannya ke sebuah lokasi bagi menguruskan perniagaan pai yang diusahakan sejak beberapa bulan lalu.
Sementara itu, sumber terdekat Zahnita yang enggan didedahkan identitinya memaklumkan, pelakon yang pernah membintangi filem Kuliah Cinta itu berada dalam keadaan sedih dan tertekan.
"Ada satu kejadian berlaku pagi tadi (Isnin) yang membuatkan Zahnita nekad mendedahkan kekerasan yang didakwa dilakukan suaminya.
"Jika diikutkan, ini bukan kejadian pertama, tetapi sebelum ini Zahnita pilih untuk menutup mulut sehinggakan ahli keluarganya juga tidak tahu," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah sumber terbabit, mereka dimaklumkan suami Zahnita telah ditahan pihak berkuasa hari ini (Isnin) dan wanita itu perlu ke balai polis untuk memberi keterangan.
"Zahnita dimaklumkan anak sulung juga telah dipanggil untuk membantu siasatan dan dia tidak sabar bertemu tiga anaknya kerana hanya dapat membawa anak bongsu berpindah dua hari lalu.
"Sama-sama kita doakan semuanya dipermudahkan buat Zahnita," ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan penahanan suami Zahnita pada Isnin.
"Kes akan disiasat bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan dan lelaki terbabit dibawa ke mahkamah esok untuk perintah reman," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, personaliti berdarah kacukan Melayu-New Zealand itu pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.
Bagaimanapun, ikatan perkahwinan itu dapat diselamatkan dan hubungan mereka kembali pulih.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2005 itu dikurniakan empat cahaya mata, Zahrafeena, Zasharayna, Zahlia dan Zayden.