Sorok dadah dalam peket ubat cirit birit, pasangan kekasih ditahan

Iklan
Taktik sindiket pengedaran dadah menyembunyikan bahan terlarang itu dalam peket ubat cirit-birit akhirnya terbongkar hasil penahanan dua individu di sini, Jumaat lalu.

PASIR GUDANG – Taktik sindiket pengedaran dadah menyembunyikan bahan terlarang itu dalam peket ubat cirit-birit akhirnya terbongkar hasil penahanan dua individu di sini, Jumaat lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, suspek yang merupakan pasangan kekasih itu ditahan hasil serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di sini.

Iklan
Iklan

Katanya, hasil siasatan mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada penagih.

"Menerusi serbuan ini seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 43 dan 27 tahun ditahan dan hasil siasatan mendapati kedua-duanya tidak bekerja dan merupakan pasangan kekasih.

Iklan

"Hasil saringan ujian air kencing pula mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada Isnin.

Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 474 gram (g) ketamin bernilai RM41,000, 295g pil ekstasi (RM14,750) 397g serbuk ekstasi (RM3,000) dan 215g pil eramin 5 (RM4,300).

Iklan

Turut dirampas, sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kelabu bernilai RM12,000.

Beliau berkata, rampasan dadah tersebut bernilai RM63,050 dan dipercayai boleh digunakan seramai 5,392 penagih jika terlepas ke pasaran.

Polis percaya sindiket tersebut mendapatkan bekalan dadah di sekitar Johor Bahru.

Bagaimanapun, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan dadah atau jenayah.

Kedua-dua suspek direman selama lima hari hingga Selasa untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh dikenakan sebatan.

Polis kini sedang mengesan dalang dan ahli sindiket terbabit yang masih bebas.