Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika cuci bot

Iklan
Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika mencuci bot bersama anaknya dalam kejadian di kawasan sungai Kampung Sri Ganda, di sini.

KINABATANGAN - Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika mencuci bot bersama anaknya dalam kejadian di kawasan sungai Kampung Sri Ganda di sini pada Ahad.

Kisman Baco, 36, disedari hilang oleh anaknya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga dan seterusnya kepada pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.35 malam.

Operasi SAR mangsa dilakukan oleh pasukan bomba dan penduduk di kawasan sungai Kampung Sri Ganda, Kinabatangan.

Katanya, seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 100 kilometer dari BBP Kinabatangan.

Iklan

"Menurut saksi iaitu anak mangsa, ketika kejadian dia dan bapanya sedang mencuci bot di tepi sungai dan dia menyedari bapanya tiba-tiba tiada berhampiran dengannya.

"Pasukan bomba ke lokasi kejadian keesokan paginya memandangkan jarak ke lokasi yang jauh dan sebaik tiba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Nurul Azlan berkata, pencarian dilakukan sejauh dua kilometer di kawasan hulu dan muara sungai bersama agensi bantuan yang lain dan penduduk kampung.

"Bagaimanapun, mangsa tidak ditemui sehingga kini dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang tadi.

"Operasi akan disambung esok dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.