GERIK - Seorang anggota tentera ditemui lemas sementara seorang lagi masih hilang dipercayai dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi Sungai Merah di sini.
Kejadian berlaku pada Jumaat lalu sekitar jam 6 petang semasa kedua-dua mangsa menjalankan tugas gerakan operasi Kota Echo/Foxtrot di kawasan Hutan Royal Belum.
Mangsa lemas dikenali Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin manakala seorang lagi yang belum ditemui dikenali Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi masing-masing berusia 20-an.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, laporan kejadian itu diterima pada Isnin jam 8.56 pagi.
Menurutnya, polis dimaklumkan, kejadian berlaku semasa mangsa bersama tujuh anggota tentera lain sedang cuba menyeberangi sungai berkenaan.
"Dua mangsa terbabit telah gagal menyeberangi sungai tersebut sebelum dihanyutkan arus yang deras.
"Penyelarasan operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan antara polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, hasil operasi digerakkan menemui seorang daripada anggota terbabit.
"Mangsa meninggal dunia akibat lemas, usaha mencari seorang lagi mangsa hilang masih diteruskan," katanya.