PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan penyitaan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilakukan berdasarkan peruntukkan undang-undang dan tidak dibuat sewenang-wenangnya.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, penyitaan akaun bank Bersatu adalah tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.
Beliau berkata, sitaan akaun bank tersebut dilaksanakan kerana ia 'subject matter' kepada siasatan serta pendakwaan.
Oleh yang demikian tegas beliau, ia tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan.
"Seksyen 50(1) adalah berkenaan dengan 'penyitaan harta alih dalam institusi kewangan'.
"Dalam kes ini, ia mengikut seksyen tersebut dan pihak Pendakwa Raya telah menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita.
"Selain itu, Pendakwa Raya juga mengarahkan institusi kewangan itu supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, Wan Shaharuddin berkata, tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan itu adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam akta yang sama.
Tambahnya, akta sama menyatakan sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah akta itu hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan itu.
Jelas beliau, sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah akta tersebut.
Beliau berkata, kes itu telah mendapat izin mendakwa dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu telah dipertuduh di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.
Walaubagaimanapun katanya, pihak Bersatu telah memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menyita akaun banknya untuk siasatan pada 29 Mei 2023.
Pada 30 Oktober 2023, tambahnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman Bersatu tersebut serta menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 September 2025.
"Saya berharap orang ramai memahami segala tindakan pihak berkuasa dalam pendakwaan kes ini adalah tertakluk kepada peruntukan akta.
"Sementara bagi orang yang dituduh, segala peluang untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah juga ada tempatnya di sisi undang-undang," ujarnya.