Banjir: Ada penduduk alami gejala gatal, kesan minyak susah hilang

Iklan
Keadaan terkini di Persiaran 10 Taman Arena Kepayang Putra, Ipoh yang dilanda air banjir dipenuhi sampah dan berminyak semasa tinjauan dilakukan pada Isnin.

IPOH - Sebahagian penduduk yang meredah banjir dalam keadaan air dipenuhi sampah dan berminyak di Persiaran 10, Taman Arena Kepayang Putra di sini pada Ahad mengalami gejala gatal di kulit.

Mereka yang ditemui memaklumkan gejala itu mula dirasai pada sebelah malam, namun tidak memberikan kesan kesihatan yang serius.

Iklan
Iklan
Kamariah

Kamariah Dilip Muhamad, 41, berkata, anak bongsunya berusia 12 tahun paling ketara mengalami kesan gatal antaranya di tangan dan kaki.

"Kebetulan kulit dia agak sensitif, jadi kesan gatal agak teruk, tetapi sekarang dah ok.

Iklan

"Apabila pasukan penyelamat tiba, saya minta dia naik bot bersama datuk dan neneknya, sementara saya dan anak lelaki sulung teruskan redah banjir hingga ke kawasan selamat," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Penduduk di Persiaran 10 Taman Arena Kepayang Putra, Ipoh mula melakukan kerja-kerja pembersihan sebaik paras banjir surut.

Suri rumah itu berkata, walaupun menyedari keadaan air banjir kotor, dipenuhi sampah dan tompokan minyak, mereka tiada pilihan kerana khuatir keadaan bertambah teruk.

Iklan

"Hampir 20 minit juga saya dan anak meraduk banjir dalam keadaan kaki ayam kerana kasut sudah hanyut.

"Alhamdulillah kami selamat, ini pengalaman pertama saya berdepan banjir sejak tinggal di sini 20 tahun lalu," katanya.

Ahmad Fahmi

Seorang lagi penduduk, Ahmad Fahmi Rashid Redza, 35, berkata, keadaan air banjir yang berminyak sangat ketara hingga meninggalkan kesan di kawasan dinding dan lantai rumah.

Katanya, paras banjir telah surut pada sebelah malam dan penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekitar jam 10 pagi untuk menjalankan kerja pembersihan.

"Apabila kita bersihkan rumah, kotor sampah dan lumpur boleh hilang, tetapi kesan minyak masih tinggal, susah nak bersihkan.

"Kalau pijak lantai, boleh terasa minyak itu masih ada," katanya.

Zulkafli (dua dari kiri) menyantuni penduduk yang terlibat banjir semasa melakukan tinjauan ke Taman Arena Kepayang Putra, Ipoh pada Isnin.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan penduduk dan pasukan penyelamat terpaksa mengharungi air yang dipenuhi sampah dan berminyak bagi membantu membawa keluar mangsa yang terkandas banjir.

Banjir dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak lewat petang Sabtu dan merupakan kali pertama berlaku dalam tempoh 28 tahun kawasan itu didiami.

Keadaan banjir yang pulih memberi kesempatan kepada penduduk di Taman Arena Kepayang Putra, Ipoh melakukan kerja-kerja pembersihan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pihaknya akan menempatkan balai polis bergerak di kawasan penempatan itu bagi memudahkan penduduk membuat laporan berkaitan kerugian banjir.

Menurutnya, polis juga akan mempergiat rondaan dan pemantauan oleh anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) khusus mengawasi penempatan terjejas banjir bagi mengelakkan jenayah kecurian.

Keadaan sebuah rumah di Taman Arena Kepayang Putra yang dipenuhi lumpur kesan banjir.

"Kita minta penduduk jangan membiarkan kediaman terbuka lapang begitu sahaja, sebaliknya tutup pagar pada waktu malam selain mengelak harta dan barang diletakkan di luar pekarangan rumah.

"Saya telah minta bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) datang selewat-lewatnya pagi esok untuk membantu penduduk di sini membersihkan kawasan," katanya.