Bunuh pelajar kolej vokasional: Mangsa ditumbuk, ditendang 10 tertuduh

Iklan
Seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac lepas.

TAWAU - Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa dia melihat 10 tertuduh telah menumbuk dan menendang Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di bilik asrama 5 Belian di kolej itu pada malam 21 Mac.

Saksi pendakwaan ke-12 yang juga rakan mangsa itu berkata, tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelima, keenam, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-11 dan ke-13 mengelilingi mangsa serta melakukan perbuatan itu ketika mangsa dalam keadaan berbaring.

Iklan
Iklan

"Ketika kejadian, saya berada di katil tertuduh ke-12 sambil bermain telefon dan kedudukan antara katil dengan tempat kejadian tidak begitu jauh,” katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao ketika perbicaraan kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol hari ini.

Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac lepas.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pelajar itu berkata, Mohamad Nazmie Aizzat dibawa masuk ke bilik tersebut oleh 10 tertuduh terbabit bersama tertuduh ketujuh dan ke-12 pada kira-kira 10 malam, bagaimanapun saksi tidak pasti apa yang dilakukan oleh tertuduh ketujuh dan ke-12.

Iklan

Saksi berkata, selepas itu, Mohamad Nazmie Aizzat keluar dari bilik tersebut dan kembali ke bilik asrama 7 Resak untuk mandi namun sekali lagi dibawa masuk ke bilik 5 Belian sebelum tertuduh kesembilan menumbuk lengan mangsa namun dihentikan oleh tertuduh pertama.

"Turut berlaku pergaduhan satu lawan satu antara tertuduh ke-11 dengan Mohamad Nazmie Aizzat di tengah bilik sebelum tertuduh kedua tiba dan bertanya mengenai perkara yang berlaku. Kemudian tertuduh pertama menerangkan tentang mangsa mencuri duit tertuduh ketiga RM50 dan tertuduh keempat RM30.

"Tertuduh kedua arahkan semua keluar kecuali tertuduh ke-12 serta seorang pelajar lain. Tertuduh kedua mengunci pintu bilik itu serta menutup lampu bilik," katanya sambil menambah dia kemudian mendengar bunyi sesuatu dihempas pada katil dan lokar besi sebelum tertuduh pertama dan kedua membawa mangsa.

Saksi pendakwaan ke-11 juga memberitahu mahkamah bahawa dia ada melihat tertuduh pertama dan kelima memukul mangsa di bilik asrama 5 Belian pada 11 malam ketika melalui bilik itu untuk ke tandas bagi mencuci kain.

Dia juga melihat mangsa di bilik asrama 7 Belian iaitu ketika tertuduh kedua memapahnya masuk ke bilik tersebut di mana tertuduh pertama, kelima dan ke-11 berada.

"Pada masa itu, saya lihat Mohamad Nazmie Aizzat dalam keadaan lemah dan hanya bertuala, semasa baring saya nampak mangsa dalam keadaan kesejukan. Lalu saya, tertuduh pertama, kelima serta ke-11 menyelimutkan dan memakaikan mangsa baju milik tertuduh pertama.

"Selain itu, saya melihat bahagian rusuk kiri mangsa lebam-lebam dan telinga kiri biru," katanya sambil menambah dia ada melihat keadaan mangsa seperti sedang tidur ketika bangun bersahur.

Selain Juhn Tao, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan disambung esok. - Bernama