SEREMBAN - Tiga tahun lalu, remaja ini bukan saja tidak dapat menatap wajah ibunya yang meninggal dunia akibat Covid-19 buat kali terakhir, malah turut tidak berpeluang ke pengebumiannya.
Ini kerana, itulah prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh Jasmine Hawa Abdul Nur, 18, dan adiknya Roselyn Aisyah Abdul Nur, 16, berikutan kes Covid-19 yang sedang menular di seluruh negara ketika itu.
Malah sehingga kini, hasrat mereka untuk menziarahi pusara ibu Nurani Kalsom Abdullah, 41, masih belum kesampaian kerana tidak mengetahui lokasinya dikebumikan melainkan di Klang, Selangor.
Menurut Jasmine Hawa, sebelum tinggal dengan neneknya di Seremban, dia dan adik serta arwah ibunya tinggal di Klang.
"Ketika penularan kes Covid-19 itu, ibu saya turut dijangkiti dan saya yang hubungi ambulans selepas dinasihatkan nenek kerana keadaan ibu sangat lemah ketika itu.
"Ibu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) dan selepas seminggu dia disahkan meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian ditemui di rumahnya di Senawang pada Isnin.
Menurutnya, disebabkan terikat dengan SOP selain masih di bawah umur, dia tidak berpeluang melihat jenazah ibunya dikebumikan melainkan neneknya yang hanya dapat melihat daripada jauh.
Ujarnya, kehilangan itu sangat memedihkan kerana dia juga tidak dapat memeluk cium dan menatap wajah ibunya buat kali terakhir.
"Jadi saya nak sangat pergi ziarah kubur ibu dan doakannya di sana, tetapi tidak pasti pula lokasinya di mana.
"Ketika ibu masih ada dia selalu pesan supaya jaga adik sampai bila-bila dan jangan berpisah serta belajar rajin-rajin," katanya.
Neneknya, V Chandra, 64, turut meluahkan keinginan mahu menziarahi pusara anak tunggalnya itu tetapi tidak pasti lokasinya melainkan di kawasan Klang.
Ujarnya, ketika itu dia hanya melihat pengebumian arwah dengan hanya duduk di dalam kereta sahaja dan banyak jenazah Covid-19 lain turut dikebumikan pada hari sama.
"Kita memang tak boleh pergi dekat atas faktor keselamatan. Saya pun dibawa ke situ oleh cucu saudara.
"Saya ada tanya dengan cucu saudara tempat itu di mana, tetapi dia pun tak ingat. Yela, kami tak biasa dengan lokasi tanah perkuburan Islam," katanya.
Tambahnya, anak arwah juga sering meluahkan hasrat mahu pergi menziarahi kubur ibu mereka terutama setiap kali pagi raya yang menjadi kebiasaan orang Islam.
Sementara itu, Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed yang diberi kepercayaan oleh keluarga terbabit untuk membantu mereka berkata, agak sukar untuk pihaknya mengesan lokasi tanah perkuburan itu kerana ia berada di luar Negeri Sembilan.
Malah katanya, maklumat yang ada hanyalah di kawasan Klang.
"Klang itu satu kawasan yang besar dan puan Chandra pula tidak begitu kenal dengan kawasan di sana.
"Kita memahami hasratnya nak pergi ziarah kubur anaknya, begitu juga cucu-cucunya dan sekarang ini pentingnya untuk kita dapatkan dahulu nama tanah perkuburan terbabit," katanya.
Beliau berpendapat, kemungkinan ada mana-mana pihak boleh membantu dengan berkongsi maklumat lokasi jenazah Covid-19 dari Hospital HTAR dikebumikan pada waktu itu.
Ini kerana katanya, beliau difahamkan ada tanah perkuburan khusus disediakan untuk mengebumikan jenazah pesakit Covid-19.
"Kalau dah dapat maklumat itu barulah kita boleh cari dan saya harap sesiapa yang ada maklumat boleh hubungi saya di talian 012-3605143," katanya