KELAB Kepulauan Borneo, Sabah FC terpaksa melupakan khidmat enam tonggak utamanya yang masih dibelenggu kecederaan menjelang perlawanan Derbi Borneo Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching pada Rabu.
Pengendali sementara, Alto Linus mengakui perkembangan itu sedikit menjejaskan persiapan skuad The Rhinos namun menyifatkan peluang kepada pemain lain mengambil tanggungjawab mengisi kekosongan tersebut.
Katanya, antara mereka yang masih berada dalam senarai kecederaan termasuk Gabriel Peres, Saddil Ramdani, Cifu, Farhan Roslan, Kwan Ming Ko dan Darren Lok.
"Mereka mengalami kecederaan ini selepas perlawanan menentang PT Athletic FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam perlawanan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia tempoh hari.
"Ini bukan masalah besar kerana saya percaya ia akan memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk memikul tugasan ini. Saya percaya mereka mampu melakukannya,” katanya.
Sementara itu, Alto mengakui berdepan Kuching City kendalian Aidil Sharin Sahak yang menghuni tangga kelima Liga Super sedikit memberikan tekanan kepada Sabah.
"Sudah semestinya setiap pasukan berada pada kedudukan terbaik liga akan mempunyai tekanan untuk mengekalkan konsistensi pada setiap perlawanan.
"Ini adalah normal kerana dalam setiap pertandingan liga, apabila kita berada di tempat yang baik sudah pasti pasukan lain akan turun dengan perancangan terbaik untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” ujar Alto.
Menurutnya, Sabah juga mempunyai perancangan tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini manakala objektif besar adalah untuk memperoleh keputusan positif.
"Kita mengakui Kuching City merupakan antara pasukan terbaik dalam Liga Super namun kita akan kekal positif dan yakin mampu melakukan apa sahaja pada ketika ini, lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri.
"Kita juga akan bertemu Kuching City dalam suku akhir Piala Malaysia...Buat masa ini kita tidak terlalu memikirkan tentang Piala Malaysia namun akan kekal fokus dan amalkan pendekatan daripada satu pelawanan kepada satu perlawanan lain,” kata Alto.