KOTA KINABALU - Malaysia memiliki pakej lengkap untuk memikat pelancong ke negara ini dan memberi pengalaman indah baik dari segi industri pelancongan kesihatan, lokasi membeli belah mahupun kebudayaannya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, Malaysia adalah destinasi pelancongan kesihatan yang terkenal, menawarkan kemudahan bertaraf dunia dengan kepakaran dan nilai yang berbaloi untuk wang manakala berbelanja di Malaysia merupakan satu pengalaman menakjubkan.
Iklan
Iklan
"Kawasan di Bukit Bintang, pusat bandar raya Kuala Lumpur dan Bangsar adalah lokasi membeli-belah yang terkenal, yang menawarkan segala-galanya daripada jenama pereka terkenal sehinggalah kepada cenderamata tempatan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Persidangan dan Pameran Kembara Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA ATCM) 2020 di sini malam ini.
Selain itu katanya, Malaysia adalah syurga untuk pemain golf kerana terdapat lebih daripada 200 padang golf di Malaysia.
Beliau berkata, untuk aktiviti bersama keluarga, pelancong boleh ke Legoland (Johor), Sunway Lagoon (Selangor), Genting Highland (Pahang), Escape Penang (Pulau Pinang) atau Taman Tema Air Desaru (Johor) untuk merakam percutian yang tidak dapat dilupakan.
Sabah pula katanya, adalah sebuah syurga ekopelancongan yang kaya dengan kepelbagaian kebudayaan yang ditampilkan menerusi lebih daripada 42 kumpulan etnik. - Bernama
Artikel Berkaitan