[VIDEO] Bank perlu bayar ganti rugi mangsa scam jika didapati cuai - PM

Iklan

KUALA LUMPUR - Bank perlu membayar semula kerugian dialami mangsa penipuan atau scammer sekiranya dikenal pasti jenayah berlaku disebabkan kecuaian oleh institusi terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan tertakluk dalam peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Akta 593.

Iklan
Iklan

"Kalau dikenal pasti kecuaian (negligence bank), bank akan bayar umpamanya setakat ini mengikut Seksyen 413 KTJ, RM178,407 telah pun dipulangkan, maknanya ada.

"Tetapi seperti mana yang dikaitkan dengan undang-undang di UK (United Kingdom), itu hanya jika dikenal pasti kecuaian pihak bank atau bank tidak memantau mengikut peraturannya. Maka bank mesti juga bayar ganti rugi dan saya setuju bahawa prinsip itu juga diguna pakai di sini.

Iklan

"Cuma mungkin dalam kajian yang dibuat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), kita akan kaji juga supaya diperketatkan agar pihak bank turut bertanggungjawab kalau didapati tidak benar-benar cermat dalam memantau dan memastikan peraturan dipatuhi," katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Anwar bercakap di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkenaan kesediaan dan komitmen Malaysia untuk memberikan lebih tanggungjawab kepada pihak bank membuat bayaran ganti rugi ataupun pampasan kepada pemilik-pemilik akaun kehilangan duit akibat scammer.

Iklan

Pada 11 November lalu, kolumnis Sinar Harian, Wan Izar Haizan menerusi kolum Pena Nurani mengulas mengenai tindakan proaktif Kerajaan United Kingdom (UK) menangani isu scammer dengan memaksa bank-bank di negara tersebut bertanggungjawab dan tidak boleh melepas tangan dalam melindungi mangsa penipuan.

Menerusi artikel bertajuk ‘Duit Scam Dikembalikan’ itu, Wan Izhar menjelaskan, bank-bank di UK dibenarkan membuat penangguhan transaksi wang mencurigakan sehingga tiga hari bagi tujuan siasatan.

Mangsa scammer pula boleh menuntut supaya bank membayar semula kesemua wang yang ditipu kepada mereka dengan jumlah maksimum £85,000.

Dalam masa sama, bank boleh menuntut sejumlah wang yang dibayar kepada mangsa daripada bank penerima yang digunakan scammer semasa transaksi berlaku.