[VIDEO] Malaysia rugi RM1.2 bilion akibat jenayah dalam talian - PM

Iklan

KUALA LUMPUR - Malaysia merekodkan kerugian berjumlah RM1.224 bilion akibat jenayah dalam talian bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ia termasuk jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

Iklan
Iklan

"Ini juga hasil daripada tindakan termasuk penangkapan dan rampasan terhadap sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ‘Ah Long’, di mana modus operandinya memberikan pinjaman wang dengan pantas tetapi menetapkan kadar riba atau faedah yang tinggi.

"Masalah dihadapi ialah kerana wujudnya peranan berbeza pemberi pinjaman wang, pemungut hutang, pegawai khidmat pelanggan, ejen pengeluar wang, pemilik akaun (mule account), ejen simbah cat dan ejen edar risalah dan banner," katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin mengetahui punca kenaikan kes jenayah berkenaan dan langkah pencegahan terhadap jenayah pinjaman wang tidak berlesen serta penipuan kewangan dalam talian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada sesi waktu pertanyaan - pertanyaan menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat ke Tiga Penggal Ke Tiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sejumlah tujuh buah premis syarikat pemberi pinjaman wang berlesen telah diserbu kerana melanggar Peraturan 15A (b) Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Pelesenan) (Pindaan) 2024.

Iklan

Katanya, Seksyen disebut itu termasuk Akta Pemberi Pinjam Wang 1951; Seksyen 436 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan; dan Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Pelesenan) (Pindaan) 2024.

"Syarikat tersebut memegang kad ATM peminjam, ini yang menyulitkan. Sebanyak 136 kertas siasatan dibuka dan 25 kertas siasatan berjaya dituduh dengan pelbagai kesalahan.

"Penguatkuasaan ini mencakupi pemberi pinjaman wang dan pemegang pajak gadai yang berlesen yang berdaftar di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan KerajaanTempatan (KPKT).

"Langkah-langkah diambil ini secara terselaras oleh PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara Malaysia (BNM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan KPKT," katanya.

Dalam masa sama, tambah Anwar, langkah pencegahan telah dilaksanakan di bawah Program Pencegahan Jenayah dan Kesedaran Awam serta penubuhan laman web Semak Mule.

Ujarnya, Semak Mule berjaya tapi agak membimbangkan kerana sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 181,628 nombor telefon, 222,092 nombor akaun bank dan 1,395 nama syarikat direkodkan melibatkan penipuan jenayah dalam talian.

"Portal ini banyak membantu kerana dengan laporan, 32,066,000 carian telah dibuat dan 22,200,984 memberi jawapan positif.

"Maknanya ada usaha memindahkan wang mereka kepada akaun mule tapi banyak terselamat kerana digerakkan, kerana kita gunakan portal Semak Mule menerusi https://semakmule.rmp.gov.my.," katanya.