Stadium Darul Makmur belum dapat CF

Iklan
Stadium Darul Makmur yang kini berusia hampir 47 tahun dalam proses mendapatkan sijil layak menduduki sebagaimana saranan pihak bomba.

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang bekerjasama dengan pengurusan Stadium Darul Makmur bagi membantu proses mendapatkan Sijil Pematuhan Kod (CCC) atau sijil layak menduduki (CF).

Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Zahar Abdullah berkata, pihak stadium bersetuju meningkatkan sistem kebakaran selaras dengan syarat ditetapkan bomba.

Iklan
Iklan

"Pihak bomba membantu melalui cadangan dan khidmat nasihat dalam aspek teknikal serta keperluan untuk tindakan pihak stadium bagi memenuhi syarat mendapatkan CCC atau CF itu.

"Walaupun risiko kebakaran di stadium agak rendah jika mengambil kira struktur binaannya yang terbuka serta mempunyai banyak laluan keluar namun tahap keselamatan kebakaran perlu memenuhi aspek yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota di sini hari ini.

Iklan

Mohd Zahar berkata, setakat ini tiada tempoh masa ditetapkan kepada pihak stadium untuk mendapatkan sijil itu atau arahan penutupan.

"Antara langkah yang diambil pihak bomba dengan menempatkan anggota di stadium itu terutama ketika berlangsung acara besar membabitkan ramai orang,” katanya.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan Stadium Darul Makmur yang dibina sejak tahun 1973 antara 13 daripada 21 stadium utama di seluruh negara tidak mempunyai CF.

Susulan pendedahan itu, kerajaan negeri difahamkan telah meluluskan memperuntukkan kira-kira RM100,000 kepada perbadanan pengurusan stadium untuk tujuan tersebut seperti kenyataan Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain sebelum ini.