IPOH - Penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak mula menggunakan kamera badan bagi memastikan operasi dijalankan dengan lebih telus, profesional dan beretika.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan telah menyalurkan agihan peruntukan Program Kesejahteraan Komuniti bagi pembelian 12 unit kamera badan berkenaan berjumlah RM34,788.
Menurutnya, sebanyak tujuh PBT dipilih bagi fasa pertama Program Penggunaan Kamera Badan terdiri daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Daerah Kampar (MDKpr) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).
"Penggunaan kamera badan ini akan meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan, meningkatkan kepercayaan orang awam, bukti yang kukuh untuk penyiasatan, mengurangkan tuntutan dan aduan salah laku, melindungi pihak berkuasa serta menjadi pemantauan masa nyata," katanya ketika berucap.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Kamera Badan Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Perak di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Sandrea berkata, dalam pada itu, pihaknya turut merancang untuk membuat agihan peruntukan seterusnya dalam fasa kedua program berkenaan kepada lapan PBT lain pada suku pertama tahun depan.
Menurutnya, Program Penggunaan Kamera Badan sebelum ini telah dimulakan secara ujikaji atau selama tiga bulan seawal Ogos lalu sebelum dilancarkan secara rasmi.
Dalam pada itu, beliau berharap inisiatif yang dilaksanakan itu dapat memberi impak dan faedah kepada pembangunan nilai kehidupan sosial rakyat.