KUALA LUMPUR - Projek tebatan banjir yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk di Pantai Timur masih mengikut jadual walaupun ada antaranya dibatalkan pada 2022 sebelum ditender semula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembatalan beberapa projek ketika itu atas dasar Kerajaan Madani menolak rundingan terus yang disifatkan sebagai lemah.
"Setakat ini, melainkan satu di Terengganu kalau tak salah saya, yang lain masih mengikut jadual.
"Jadi, saya nak beri jaminan yang penting, jangan ini menyebabkan kelambatan tetapi proses umpamanya penilaian teknikal oleh kementerian, kemudian penilaian kewangan oleh Kementerian Kewangan itu harus dipatuhi," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai sama ada terdapat bukti penyelewengan dalam proses tender projek tebatan banjir yang dibatalkan sebelum ini dan apakah keputusan membatalkan tender serta tender semula projek itu menjejaskan garis masa persediaan untuk menangani banjir besar.
Anwar menegaskan, sistem sekarang menjadikan proses tender cukup telus dan kebocoran yang besar sebelum ini adalah disebabkan amalan rundingan terus.
"Kalau kita ada tender, dalam kes ini dipercepatkan kerana kita katakan tender terhad,maknanya sekurang-kurangnya ada perbandingan di antara 10 syarikat-syarikat yang berkeupayaan dan mereka akan memberikan kos yang munasabah,"katanya.
Sebelum itu, Anwar menjelaskan pertanyaan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin tahu adakah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) akan dipercepatkan untuk membolehkan semua mega fasiliti mitigasi banjir disegerakan termasuk LPT3 ke Pantai Timur sehingga ke Tumpat, Kelantan.
Beliau berkata, di Kelantan, terdapat beberapa projek utama iaitu fasa satu meliputi jajahan Tumpat dan sebahagian Pasir Mas yang sudah 70 peratus siap dan jangka siap dijangka awal tahun 2026.
Katanya, fasa dua pula meliputi jajahan Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Masyang telah diminta agar dipercepatkan.
"Fasa tiga meliputi jajahan Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli (4 peratus siap). Tetapi, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) sungai Kelantan hampir siap, iaitu, fasa satu meliputi jajahan Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai yang dijangka siap Januari atau Februari 2025 dan fasa dua meliputi jajahan Kota Bharu (baru dimulakan pada tahun ini, 4 peratus siap).
"Di Terengganu, RTB (Rancangan Tebatan Banjir) Kemasik (91.8 peratus siap, jangka beroperasi penuh pada akhir bulan Januari 2025), RTB Sungai Tepoh dan Benggol Air Lilih (baru dimulakan), termasuk di Bukit Puteri dan lain-lain di Bukit payung.
"Tiga projek RTB yang sudah siap di Terengganu iaitu, RTB Sungai Besut Fasa 1, RTB Gong Kiat dan RTB Guntung Luar, Setiu,"katanya.
Tambah beliau, sebanyak 14 projek utama dilaksanakan di Pahang di mana lapan projek sedang dalam perlaksanaan.
"Di Pekan Kuantan, Sungai Yeh, Sungai Maran, Sungai Jelai, Sungai Pahang dan lain-lain dalam pelaksanaan," katanya.