[VIDEO] Siapa cadang tanah itu diserahkan kepada pemaju? - Khalid Samad

Iklan

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab terhadap pemberimilikan tanah rizab polis di Taman Desa kepada pemaju.

Khalid berkata, isu tersebut menjadi tanda tanya apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersetuju tanah tersebut diserahkan kepada pemaju dan diberikan tanah gantian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkenaan isu itu juga didakwa mengelirukan.

"Ia jadi tanda tanya siapa yang cadangkan idea tersebut? Siapa cadang tanah itu diserahkan kepada pemaju?

Iklan

"Kalau bukan idea itu datang daripada PDRM, mungkin ada pihak lain yang berminat iaitu pemaju.

"Penduduk dan ahli Parlimen pula tidak dilibatkan, tiba-tiba tapak polis sudah ada kebenaran merancang," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Iklan
Khalid Samad

Katanya, jika keputusan itu dibuat berdasarkan cadangan pemaju dengan mengetepikan suara KDN dan PDRM, beliau beranggapan itu merupakan satu tindakan yang tidak betul.

Beliau menyuarakan kebimbangan pemberimilikan itu membuka kepada peluang rasuah dalam proses kelulusan.

"Jika perancangan bandar dah ada tetapi kemudian ditukar kepada pemaju, ini tak betul.

"Ini membuka pintu luas kepada amalan rasuah, apabila tanah yang telah dirizab untuk sekolah hospital atau kemudahan lain, boleh ditukar kepada pemaju tanpa ada proses perbincangan telus dengan pihak berkepentingan," katanya.

Justeru beliau mendesak, Dr Zaliha memberikan penjelasan berkenaan perkara itu.

Beliau menegaskan, pemberimilikan itu baharu sahaja dilakukan baru-baru ini dan tidak dibincangkan ketika beliau menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini Teresa mendedahkan beliau menerima jawapan bertulis yang menyatakan Mesyuarat JKTWPKL bertarikh 27 Jun 2024 bersetuju meluluskan permohonan pemberimilikan tanah rizab polis di Lot 54780 di Taman Desa seluas 0.86 ekar kepada syarikat swasta untuk mendirikan kondominium.

Selepas itu beliau membangkitkan isu itu dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan menerima jawapan bertulis daripada kerajaan yang menyatakan KDN dan PDRM tidak setuju lot itu dijual kepada pihak swasta kerana KDN mempunyai rancangan untuk membangunkan Balai Polis Brickfields di lot tersebut.

Teresa menyeru campur tangan kerajaan untuk membatalkan keputusan pemberimilikan dan memulangkan tanah rizab polis kepada KDN kerana terdapat keperluan balai polis didirikan di kawasan itu.