ALOR GAJAH - Penduduk di Kasa Height di sini, gempar dengan kejadian 'air terjun lumpur' yang membanjiri jalan utama ke taman perumahan itu pada petang Isnin.
Difahamkan kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku apabila tembok konkrit sepanjang kira-kira 100 meter dan tiga meter tinggi dari atas bukit tiba-tiba runtuh.
Penduduk, S Kumaran, 48, berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah sebelum menerima rakaman video daripada kumpulan WhatsApp taman mengenai kejadian itu.
Menurutnya, lebih membimbangkan runtuhan tembok batu yang membawa bersama banjir lumpur itu berlaku betul-betul di belakang rumahnya.
"Dipercayai tembok terbabit tidak mampu menahan arus deras dari longkang utama taman perumahan lain.
"Nasib baik insiden itu tidak melibatkan mangsa atau kerosakan pada rumah memandangkan arus banjir lumpur yang mengalir begitu deras," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
C Rajamah 47, berkata, itu adalah kejadian pertama berlaku sejak dia sekeluarga tinggal di taman perumahan itu tiga tahun lalu.
Menurutnya, ketika kejadian dua anaknya tiada di rumah kerana pergi tuisyen.
"Syukur runtuhan tembok itu tidak melibatkan mangsa di jalan belakang rumah ini yang memang digunakan penduduk taman.
"Saya lihat air lumpur telah memasuki lantai belakang rumah tapi tidak menyebabkan kerosakan harta benda," katanya.
Tinjauan di lokasi mendapati kerja-kerja membersihkan lumpur dan serpihan tembok yang pecah di atas jalan telah dilakukan oleh beberapa pekerja.