KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berjaya menyekat RM19 juta wang jenayah penipuan dalam talian dan menyita sejumlah RM6 juta setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan antara kejayaan NSRC melibatkan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi.
Iklan
Iklan
"Kita ada satu jawatankuasa khas di peringkat ASEAN untuk meningkatkan bidang kerjasama, memantau dan mengenal pasti langkah-langkah yang lebih baik, canggih, mengatasi kecanggihan oleh penipu.
"Maknanya, jumlah yang ditipu itu ramai. Memang benar RM19 juta telah berjaya disekat, maknanya ada kejayaan. Bayangkan, kalau tidak disekat RM19 juta akan terlepas, tetapi berjaya disekat," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkenaan sama ada kerajaan akan mengkaji semula lesen pinjaman wang di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bagaimana kerajaan boleh menoktahkan isu penipuan dan manipulasi dalam pentadbiran bank.
Dalam pada itu, Anwar berkata, antara langkah lain yang turut diambil bagi menangani isu jenayah dalam talian termasuk pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), selain menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA), serta tindakan berterusan oleh NSRC.