PERLAWANAN yang menemukan skuad hoki lelaki negara dengan penyandang juara India di separuh akhir Piala Remaja Asia 2024 merupakan aksi penting kepada pemain-pemain muda negara, menurut pengendali The Young Tigers, I Vikneswaran.
Anak buah Vikneswaran yang berstatus naib juara Kumpulan B, akan berdepan India yang juga juara Kumpulan A di Stadium Hoki Oman Al Marat, Muscat dengan misi sama menyambar slot akhir selepas kedua-dua layak ke pusingan akhir Piala Dunia Remaja 2025 tahun depan.
"Kita kena langgar dan tidak takut untuk kalah. Perlawanan menentang India merupakan perlawanan ke-11 skuad remaja pentas antarabangsa.
"Perlawanan separuh akhir ini juga sangat penting kerana bukan sekadar misi meraih keputusan positif. Ia juga akan memberi satu penilaian tentang tahap permainan sebenar kita sebelum mengharungi Piala Dunia Remaja 2025.
"Saya yakin kemampuan pemain-pemain muda kita yang mempunyai kemampuan masing-masing termasuk yang boleh bawa perubahan pada pola perlawanan,” kata Vikneswaran.
Sementara itu, jelas bekas pemain negara itu, pemain-pemain Young Tigers juga telah mempamerkan mutu permainan terbaik ketika tewas kepada Pakistan.
"Perlawanan menentang Pakistan, kita bermula baik namun kegagalan memanfaatkan peluang masih menjadi masalah kepada pemain.
"Pemain-pemain juga kecewa apabila gagal menterjemahkan beberapa peluang daripada percubaan pukulan sudut penalti, penalti stroke dan gol padang dalam bentuk jaringan jika dibandingkan Pakistan.
"Biarpun begitu saya bangga dengan corak dan mutu permainan pemain, selain kesungguhan mahu berdaya saing membara,” ujarnya lagi.