IPOH - Tahun Melawat Perak 2024 menyaksikan kehadiran warga Thailand paling ramai bagi kunjungan pelancong asing sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan kemasukan pelancong antarabangsa melalui pintu masuk darat di Pengkalan Hulu paling ramai iaitu berjumlah 104,861 orang.
Menurutnya, daripada jumlah itu, pelancong dari Thailand paling tinggi iaitu 92,099 orang diikuti Singapura seramai 5,347 orang, China (2,020), Indonesia (1,231) dan Vietnam (1,111).
"Berdasarkan Hotel Guest Survey yang melibatkan persampelan daripada 40 hotel berdaftar dengan Tourism Malaysia, data tidak rasmi mencatatkan kemasukan 609,249 pelancong antarabangsa telah berkunjung dan bermalam di negeri ini dalam tempoh yang sama.
"Jumlah itu telah melepasi sasaran 350,00 pelancong antarabangsa untuk Tahun Melawat Perak," katanya ketika menjawab soalan lisan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.
Sementara itu, Sze Yee berkata, kemasukan pelancong antarabangsa melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 63,974 orang.
Menurutnya, sebilangan besar pelancong yang masuk menggunakan kapal terbang adalah dari Singapura seramai 52,025 orang diikuti Australia (1,806), China (1,651) dan India (1,279).
Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah keseluruhan pelancong dan pelawat harian yang berkunjung ke Perak telah mencapai 7.41 juta orang pada penghujung suku ketiga tahun ini.
Katanya, data pelancong itu diperoleh daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan operator pelancongan berdasarkan persampelan 209 produk daripada 422 produk pelancongan di seluruh negeri.
"Perkembangan positif ini memberikan keyakinan kepada kerajaan negeri bahawa sasaran 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa menjelang akhir tahun akan dicapai.
"Ini sekali gus membuktikan keberkesanan strategi promosi dan usaha memperkasa sektor pelancongan negeri," katanya.