TUMPAT - Empat jalan menghala ke Pengkalan Kubor runtuh manakala dua rumah musnah dihempas arus deras banjir gelombang pertama di daerah ini, sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jalan-jalan terlibat ialah Jalan Jubakar Pantai di Taman Sri Bayu, Jalan Sungai Tapang, Kampung Jubakar Pantai, Jalan Utama Kampung Tujuh dan Jalan Kampung Baru Nelayan.
"Rumah musnah masing-masing satu di Kampung Tujuh dan Kampung Baru Nelayan namun dipercayai masih ada lagi kerana maklumat sedang dikumpulkan, begitu juga dengan jumlah kenderaan yang hanyut.
"Jalan-jalan runtuh pula membabitkan laluan menuju ke Pengkalan Kubor menyebabkan terputus hubungan tetapi masih terdapat laluan melalui Jalan Kelaboran yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjung, di sini, pada Selasa.
Beliau sebelum itu mengiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang berkenan mencemar duli melawat 225 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.
Menurut Mohd Yusoff, terdapat lebih 3,000 mangsa terjejas banjir di kawasan Pengkalan Kubor yang ditempatkan di empat PPS iaitu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, SK Bunohah, SK Pengkalan Kubor 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting.
"Saya menerima maklum daripada pihak pegawai daerah bahawa bantuan kepada mereka dapat disalurkan.
"Bantuan dibawa menggunakan pelbagai cara termasuk lori melalui Jalan Kelaboran ke Pengkalan Kubor,” katanya.
Beliau dalam pada itu menasihatkan penduduk supaya tidak mendekati kawasan jalan-jalan runtuh termasuk tujuan bergambar dan sebagainya.
"Saya minta orang ramai supaya berwaspada kerana keadaan jalan-jalan runtuh ini boleh membahayakan nyawa,” katanya.