SHAH ALAM - Bank Rakyat menawarkan kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan atau individu yang terjejas akibat bencana banjir.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, sebagai institusi kewangan Islam yang prihatin, kemudahan ditawarkan bagi mengurangkan beban dan kesulitan yang dihadapi pelanggan sekali gus berharap dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas.
Menurutnya, langkah proaktif tersebut diambil bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani untuk membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pengguna.
"Justeru, pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.
"Ini termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i, Kad Kredit-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, menurut Ahmad Shahril, pelanggan juga boleh membuat permohonan bantuan moratorium menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan butiran peribadi bagi membuat pengesahan.
Tambah beliau, bagi pemegang Kad Kredit-i Bank Rakyat yang terjejas, pelanggan boleh memohon melalui e-mel kkredit@bankrakyat.com.my atau menghubungi Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03-2693 6880 selain mengunjungi Pusat Kad Bank Rakyat di cawangan berdekatan.
"Permohonan menerusi e-mel perlu sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.
"Pelanggan boleh layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my atau hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 80 5454," katanya.