KUALA LUMPUR - Mana-mana pihak yang terlibat dengan bantuan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah diminta melibatkan wakil rakyat kawasan terjejas bagi mengelakkan berlaku pembaziran sumber.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kegagalan berbuat demikian pada masa ini menyebabkan berlaku lebihan bantuan khususnya membabitkan makanan.
"Kalau ada mana-mana pihak kerajaan, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), NGO dan NGI (pertubuhan atau individu bukan kerajaan) yang membantu, saya syorkan tolong hubungi wakil rakyat yang berada di sana kerana kami lebih mengetahui apa yang berlaku.
"Antara keperluan asas (diperlukan) tilam, bantal, tikar, lampin pakai buang dan tuala wanita. Kadang-kadang kita nak beri bantuan baguslah kerana kita nak mileage dan sebagainya. Tapi, kita bagi benda yang terlebih banyak macam makanan, membazir buang begitu sahaja.
"Kalau kami tak dilibatkan secara langsung, saya fikir kita akan membazir banyak sumber yang boleh digunakan untuk membantu rakyat yang terkesan," katanya pada sidang media bersama ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di Parlimen pada Selasa.
Pada masa sama, beliau juga menuntut belas ihsan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menyalurkan peruntukan terus kepada wakil rakyat yang kawasannya berdepan banjir teruk.
"Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang, tenggelam, musnah sepenuhnya di banyak tempat, rumah rosak dan sebagainya.
"Kalau kita tak beri bantuan kepada wakil rakyat, banyak perkara yang sepatutnya boleh selesai dalam masa seminggu akan berlarutan sebulan kerana karenah birokrasi
"Sebab itu kita ada wakil rakyat sebagai pemudah cara untuk kita bantu rakyat di bawah. Kalau wakil rakyat dipinggirkan macam mana nak bantu rakyat yang terkesan? Kerajaan juga akan dapat nama buruk," katanya.