KUALA LUMPUR - Takaful Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan tahunan yang kukuh dan konsisten sejak penubuhannya 40 tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Nor Azman Zainal berkata, pada September lalu syarikat itu disenarai lima teratas bagi 20 saham terbaik mengikut pulangan dalam
tempoh 26 tahun oleh penerbitan The Edge Malaysia.
Menurutnya, syarikat juga telah mencatat hasil jualan melebihi RM3 bilion sejak tiga tahun lalu dan keuntungan sebelum zakat serta cukai melebihi RM500 juta.
"Sepanjang tempoh empat dekad ini, Takaful Malaysia telah menempa pelbagai kejayaan dan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
"Walaupun menggalas tugas mencabar dalam pasaran sengit, saya berbangga kerana warga pengurusan dan tenaga kerja terus menggembleng tenaga dan bersatu hati untuk memastikan jenama Takaful Malaysia kekal relevan dan menjadi pilihan bagi penyelesaian perlindungan patuh syariah,” katanya pada Sambutan Ulang Tahun ke-40 Takaful Malaysia di The Majestic Hotel di sini pada Jumaat.
Majlis mengangkat tema ‘Legasi yang Mampan’ itu dirasmikan oleh Dr Muhamad Razak Idris merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.