Najib nafi terlibat dalam transisi TIA ke 1MDB

Iklan
Najib Tun Razak (kanan) ketika hadir bagi perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah mengadakan perbincangan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low) atau bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengenai transisi Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama, bekas perdana menteri itu juga menegaskan bahawa beliau secara konsisten menyokong untuk TIA kekal berada di bawah kerajaan negeri Terengganu.

Iklan
Iklan

"Semasa Mesyuarat Kabinet pada 17 Jun 2009, saya memaklumkan kepada Kabinet bahawa Kementerian Kewangan memilih pilihan kedua iaitu Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBTI) melaksanakan kawalan sepenuhnya ke atas TIA, dengan jaminan back-to-back daripada Kerajaan Persekutuan.

"Sekiranya Jho Low benar-benar bersubahat dengan saya untuk memastikan TIA bertukar kepada 1MDB dan jika ada perbincangan mengenai perkara ini antara saya, Jho Low dan Tan Sri Nor Mohamed pada masa lepas, maka tidak ada keperluan kepada satu surat yang begitu terperinci yang cuba meyakinkan saya dan dia (Nor Mohamed) untuk bersetuju untuk merubah TIA kepada 1MDB,” katanya.

Iklan

Najib membela dirinya terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB bersama 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Pada 30 Oktober, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri atas kesemua 25 pertuduhan, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu bagi kesemua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.

Iklan

Terdahulu, Najib menjelaskan bahawa isu merubah TIA sebagai badan Persekutuan timbul selepas ketua pegawai eksekutifnya ketika itu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, menulis surat kepadanya dan Nor Mohamed pada 25 Mei 2009, yang menyatakan mengenai konflik dalaman antara pengurusan TIA dan MBTI.

Dalam surat itu, Shahrol Azral mencadangkan TIA berkembang menjadi 1MDB, dimodelkan selepas dana kekayaan negara Abu Dhabi, Mubadala.

"Hanya ketika perbicaraan ini, saya dapat tahu bahawa surat itu telah didrafkan oleh Shahrol Azral dan Jho Low di kediaman Jho Low. Shahrol Azral percaya terdapat perbincangan antara saya, Nor Mohamed dan Jho Low berhubung penukaran TIA kepada 1MDB, meletakkan itu di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Saya tidak dapat mengingati secara khusus surat ini, kerana tidak ada pengakuan daripada saya atau pejabat saya, tiada notifikasi oleh saya, dan juga telah tidak ditunjukkan kepada saya semasa siasatan. Jika saya menerima surat ini pada masa itu, saya akan menganggap bahawa Datuk Shahrol telah menyediakannya, kerana beliau adalah penandatangannya, saya tidak akan tahu bahawa Jho Low membantu Shahrol dalam merangkanya,” kata Najib.

Najib berkata, agak pelik untuk Shahrol Azral mencadangkan semasa perbicaraan ini bahawa beliau mewakilkan pendrafan surat itu kepada Jho Low, semata-mata kerana hubungan rapat antara Jho Low dan beliau.

"Sekiranya hubungan saya dengan Jho Low sebenarnya begitu rapat, maka Shahrol Azral yang mempunyai kuasa untuk mengambil kakitangan pengurusan, sepatutnya melantik Jho Low sebagai pembantu atau perundingnya dan dengan cara ini, Jho Low akan diberi kuasa secara rasmi untuk merangka dan menandatangani surat, tanpa membuat saya percaya bahawa Shahrol Azral sendiri adalah pengarangnya.

"Selain itu, memandangkan alasan Shahrol Azral membenarkan Jho Low merangka surat itu disebabkan hubungan rapat saya dengan Jho Low, adalah munasabah untuk saya menganggap Shahrol Azral, terhutang budi kepada rakan baik dan pelanggannya (Jho Low), bahawa dia membenarkan Jho Low menguruskan perkara mengikut kehendaknya, walaupun ia bermakna mengelirukan saya, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. - Bernama