KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan wujud struktur budaya kerja secara silo ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri, sebaliknya ia merupakan protokol asas untuk melindungi kerahsiaan dan integriti tugas.
Najib, 71, berkata demikian ketika prosiding hari kedua bela diri kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan).
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, mudah bagi pihak lain menuding jari dengan meletakkan kesalahan yang berlaku pada 1MDB kerana melindungi individu lain yang terbabit dalam salah laku.
"Dakwaan budaya kerja secara silo ini tidak masuk akal, ia hanya muncul semasa perbicaraan.
Susulan itu bekas Presiden UMNO ini berkata, mereka menyalahkannya kerana mahu melindungi diri daripada kebertanggungjawaban terhadap aktiviti jenayah yang mereka lakukan, bagi pihak ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Dalam pada itu, beliau berkata, tidak mengetahui Jho Low berperanan membantu penyediaan surat, agar Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) ditukar kepada Malaysia Development Berhad, 15 tahun lalu.
Jelasnya, surat itu dirangka oleh Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dengan bantuan Jho Low hanya diketahui ketika prosiding di mahkamah.
"Saya tahu mengenai surat itu selepas Shahrol Azral percaya, wujud perbincangan antara saya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Jho Low diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.
"Saya tidak pernah arahkan Jho Low berbincang dengan Shahrol Azral,” katanya.
Pada 30 Oktober lalu, Najib diperintah membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.