[VIDEO] 'Takkan nak tunggu kami hilang nyawa baru ambil tindakan?'

Iklan

HULU TERENGGANU -"Nak tunggu kami semua sudah kehilangan nyawa barulah pihak berwajib nak ambil tindakan?"

Demikian luah seorang penduduk di Kampung Merbau Pulas, Ajil di sini yang kecewa apabila terpaksa hidup dalam ketakutan disebabkan kediamannya berisiko runtuh akibat diancam hakisan tanah.

Iklan
Iklan

Azam Abdul Razak, 60, berkata, setiap kali hujan, dia tidak dapat melelapkan mata malah terpaksa berpindah ke rumah adik beradik untuk menumpang berteduh kerana bimbang rumahnya itu akan runtuh bila-bila masa.

Azam menunjukkan kawasan luar rumahnya retak akibat hakisan tanah.

"Sampai bila saya perlu hidup dalam keadaan sebegini, hidup seakan pelarian di rumah sendiri malah kesihatan saya juga tidak begitu baik kerana menghidap asma dan darah tinggi. Perkara sebegini menyebabkan masalah kesihatan saya semakin merosot.

Iklan

"Ini rumah kenangan saya bersama arwah suami yang dibina di tanah sendiri dengan menggunakan duit pencen arwah suami dan pinjaman peribadi. Inilah harta saya, tiada tempat tinggal lain dah kalau berlaku kejadian rumah runtuh, mana kami anak beranak nak tinggal.

Dinding di rumah Azam yang mula retak akibat hakisan.

"Kita takut jika tiada tindakan maka akan menyebabkan kehilangan nyawa seperti kejadian tanah runtuh baru-baru ini di Bukit Apit. Kalau boleh tangani lah kejadian ini dengan segera sebelum apa-apa tragedi berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Merbau Pulas, Ajil di sini pada Selasa.

Iklan
Keadaan dinding rumah yang mula retak akibat hakisan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan mendapati beberapa rumah di kawasan tersebut diancam hakisan tanah dengan keretakan berlaku di struktur dinding dan lantai rumah.

Mengulas lanjut, Azam berkata, dia sudah membuat aduan kepada pihak berwajib termasuk pejabat tanah dan wakil rakyat di kawasan berkenaan sejak 2020, namun tiada sebarang tindakan diambil untuk menangani isu tersebut setakat ini.

Keadaan hakisan tanah yang berlaku.

"Ada yang datang tengok tapi tak boleh buat keputusan dan sampai sekarang perkara ini senyap begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan susulan.

"Memandangkan cuaca sekarang ini semakin teruk, bukan tanah sahaja berlaku hakisan tapi libatkan rumah. Kita bimbang satu masa nanti libatkan nyawa dan harta benda pula, maka saya sebagai ibu tunggal yang tidak berdaya ini mohon agar pihak berwajib datanglah pantau serta ambil tindakan seterusnya," ujarnya.

Azam menunjukkan bukti salinan aduan yang dihantar kepada pihak berwajib

Dalam pada itu, Azam mendakwa hakisan tanah seluas 4.5 meter itu berlaku disebabkan kerja-kerja dibuat oleh pemilik tanah persendirian yang berada di tanah sebelah rumahnya.

"Dahulu tak ada berlaku hakisan tanah...ia berlaku disebabkan kerja-kerja persendirian dibuat oleh pemilik tanah sebelah rumah menyebabkan tanah jadi tak rata.

"Sejak itu, hakisan tanah semakin teruk dan membimbangkan ditambah lagi pada musim hujan lebat. Bila-bila masa sahaja rumah didiami ini akan runtuh akibat hakisan tanah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nik Jamaliah Abdul Razak, 55, berkata, dia sekeluarga hidup ketakutan setiap kali hujan kerana bimbang rumah yang didiami akan runtuh akibat hakisan tanah yang teruk.

"Kami berharap semoga apa yang terjadi di Bukit Apit tidak berulang lagi, kita memang berada dalam ketakutan. Setiap kali hujan, hakisan akan berlaku apatah lagi setiap tahun hakisan itu mencecah sehingga 0.6 meter.

"Jadi jangan tunggu berlaku kejadian tanah runtuh, rumah ini dah roboh barulah pihak berkenaan nak datang ambil tindakan segera," katanya.