IPOH - Kementerian Kerja Raya meminta semua Jabatan Kerja Raya negeri menubuhkan dan mengaktifkan Pasukan Gerak Kerja sekiranya berlaku bencana.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pasukan tersebut penting terutama ketika musim bencana bagi memantau jambatan, jalan, bangunan dan cerun bagi tempoh 24 jam setiap hari.
Menurutnya, melalui pemantauan tersebut, pelbagai masalah yang dikenal pasti dapat ditangani dengan segera.
"Apabila ada pasukan task force (Pasukan Gerak Kerja) di negeri Perak maka di negeri-negeri lain juga kita mengesyorkan JKR negeri-negeri mengadakan task force khas mengenai bencana ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat JKR Perak di sini pada Selasa.
Ahmad berkata, mengambil contoh di Kelantan, melalui pasukan tersebut, JKR dapat mengambil tindakan segera dengan menyalurkan RM600,000 bagi memasang sheet pile di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Kampung Lakota yang hampir terputus akibat tanah runtuh.
Menurutnya, jika besi-besi sheet pile yang dipasang secara menegak supaya tanah itu tidak lagi bergerak, jalan itu boleh runtuh dan akan memutuskan hubungan negeri Kelantan dan Perak.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, Pasukan Gerak Kerja Negeri Perak diketuai Pengarah JKR negeri, Ir Zamri Mat Kasim dan dibantu seorang Timbalan Pengarah serta 11 orang ketua bahagian JKR Perak, seorang Ketua Jurutera Elektrik Negeri dan seorang Ketua Jurutera Mekanikal Negeri.
Katanya, turut menganggotai pasukan tersebut ialah 12 orang Jurutera Daerah, seorang Ketua Unit Tentera Negeri dan seorang Ketua Unit Pangkalan Tentera Laut.
Sementara itu, Ahmad berpuas hati dengan prestasi projek-projek yang diselia JKR Perak dengan nilai keseluruhan RM5.94 bilion.
Menurutnya, daripada 157 projek meliputi bangunan sebanyak 116 projek dan 41 projek jalan, hanya dua sahaja yang dijadual lewat.
"Saya amat gembira apabila dimaklumkan daripada 157 projek hanya dua sahaja yang lewat jadual jadi ia tidak menggambarkan satu perkara yang tidak sihat, terlalu kecil daripada 157 projek.
"Cuma kita minta untuk cuba siapkan projek lebih awal sebulan atau dua bulan dengan kualiti sama dengan gerak kerja yang lebih aktif di tempat pembinaan," katanya.