[VIDEO] 'Tidak sempat tuai hasil'

Iklan

TAMPIN - Seorang usahawan di Felda Jelai 4 di sini tidak sempat menikmati hasil jualan madu kelulut selepas 11 sarang lebah kelulut miliknya ditenggelami banjir dalam kejadian Jumaat lepas.

Norazuan Abdul Wahab, 46, menyifatkan kejadian banjir kali ini luar biasa apabila ketinggian air mencecah dua meter berbanding sebelum ini tidak sampai 0.5 meter.

Iklan
Iklan
Norazuan menunjukkan sarang lebah kelulut yang rosak akibat banjir.

"Saya baru sahaja menerima 10 sarang kelulut menerusi bantuan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada bulan Ogos lalu. Jangkaan hasil patut dikeluarkan hujung bulan November melibatkan nilai jualan kira-kira RM4,400.

"Sebelum ini saya hanya ternak lebah kelulut menggunakan satu sarang sejak tiga tahun lalu kerana fokus kepada penternakan ayam. Kini diberi peluang untuk usahakan secara serius madu kelulut namun diuji dengan banjir," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya pada Selasa.

Iklan

Norazuan berkata, dia berasa lega apabila pihak konsultasi usahawan MAINS memaklumkan lima daripada sarang berkenaan masih boleh digunakan semula.

Keadaan kediaman Norazuan selepas dilanda banjir.

"Saya reda sebab kejadian (banjir) seperti ini tiada siapa yang jangka, proses mengemas pun masih belum selesai, banyak barang rosak terutamanya barangan elektrik.

Iklan

"Cuma al-Quran milik anak-anak yang datang mengaji sahaja dalam keadaan baik, walaupun ada sedikit koyak dan basah," katanya.

Mengimbas kembali kejadian banjir itu, Norazuan berkata, dikejutkan oleh ibunya sebaik air naik mendadak kira-kira jam 1 pagi selain memaklumkan peti ais rumahnya terjatuh dalam air.

"Rumah mak sebelah sahaja, jadi mak ketuk pintu rumah bertalu-talu menjerit minta tolong. Hujan pula lebat tidak sempat selamatkan barang lain," katanya.

Norazuan bersama ibunya, Tukinam Sulaiman, 72 melihat keadaan al-Quran yang berjaya diselamatkan.

Dalam pada itu, MAINS memaklumkan terdapat dua usahawan madu kelulut yang merupakan golongan asnaf terjejas akibat banjir membabitkan kediaman Norazuan dan seorang lagi di Kampung Kurnia Diraja, Pasir Besar, Gemas.

Timbalan Setiausaha (Operasi) MAINS, Datuk Nor Azmi Musa menyantuni kedua-dua usahawan tersebut pada Isnin dengan menyerahkan bantuan berupa kit makanan dan wang tunai.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar kediaman di Felda Jelai mendapati penduduk terjejas membersihkan kediaman masing-masing selain terdapat barangan yang rosak diletakkan di hadapan rumah.