TUMPAT - Tindakan penghulu mengasingkan barangan bantuan yang disumbangkan oleh pempengaruh, Khairul Aming di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tumpat 1 sepertimana didakwa oleh orang ramai adalah tindakan betul.
Penggawa Jajahan Tumpat, Abdullah Farizal Mohd Asri berkata, langkah itu bertujuan memastikan sebarang bentuk bantuan diagihkan secara adil kepada mangsa banjir.
Iklan
Iklan
"Pihak yang bertanggungjawab terhadap PPS akan berbuat demikian. Hal ini kerana NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang beri sumbangan mereka tidak tahu jumlah penghuni PPS, jadi barangan diterima akan diasingkan dan dibahagikan.
"Nampak barangan sumbangan banyak tetapi apabila dibahagi kepada jumlah mangsa banjir yang ada, mungkin akan dapat sedikit.
"Tiada istilah kami menyorok atau berbuat sesuka hati dengan barangan sumbangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut beliau jika betul ada dakwaan seperti itu pihak berkenaan boleh kemukakan bukti dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Sebelum itu tular di TikTok dakwaan orang ramai barangan sumbangan Khairul Aming telah diasingkan dan mangsa banjir dipercayai hanya menerima sebungkus biskut serta mi segera sahaja.