KUANTAN - Kerajaan Pahang memberi jaminan akan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan kelapa yang melanda negeri ini sejak Ogos lalu dalam masa terdekat.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang berkata, kekurangan bekalan telah menyebabkan harga kelapa meningkat daripada RM2.50 kepada RM3.50 sebiji, manakala harga santan pekat kini mencecah RM16 sekilogram.
"Kelapa memang tidak mencukupi bermula Ogos sehingga bulan ini, tetapi kami akan selesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2025 yang disampaikan oleh Zuridan Mohd Daud (Pas-Damak) di Wisma Sri Pahang, di sini pada Selasa.
Chon Siang memaklumkan, kekurangan ini berpunca daripada masalah bekalan domestik dan situasi serupa di negara jiran seperti Thailand.
Sebelum itu, Zuridan dalam perbahasannya mendedahkan beliau menerima aduan daripada pengusaha santan di daerah Jerantut mengenai kenaikan harga kelapa yang kini mencecah RM2.80 sebiji, berbanding harga kawalan RM1.90 sebiji.
Menurutnya, kenaikan hampir 90 sen ini bermula sejak Ogos lalu dan dipercayai berpunca daripada manipulasi kartel pembekal.
Katanya, kadar upah tambahan turut dikenakan bagi setiap biji kelapa, khususnya untuk perniagaan runcit dan pengusaha santan.
"Situasi ini memberi kesan besar kepada pengusaha santan segar, yang kini terpaksa menaikkan harga santan pekat kepada RM16 sekilogram.
Kenaikan ini sudah pasti memberikan kesan langsung kepada pengguna,” tegasnya.