MIRI - Seorang suri rumah berusia 50-an kerugian RM130,000 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian di sini pada awal November lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, penipuan itu berlaku selepas mangsa tertarik dengan iklan kerja sambilan menerusi laman sosial TikTok.
"Mangsa bertindak menghubungi seorang individu tidak dikenali yang berperanan sebagai ejen melalui aplikasi TikTok dan seterusnya mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan Telegram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mancha berkata suspek kemudian memaklumkan mangsa telah menerima komisen dalam aplikasi digital milik mangsa dan wanita itu turut diberikan tugasan lain untuk mempromosikan satu produk syarikat jenama pakaian.
"Mangsa diminta untuk membuat pembayaran untuk mengeluarkan komisen keuntungan terbabit," katanya.
Terperdaya dengan kata-kata suspek, beliau berkata, mangsa melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek berjumlah lebih kurang RM130,000.
Mancha berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila masih diminta untuk membuat pembayaran lain untuk mendapatkan komisen berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak terlalu mudah percaya dengan tawaran kerja sambilan di laman sosial dan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tugasan.
Mereka juga disarankan membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di laman sesawang www.bnm.gov.my/BNM TELELINK 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my/(03-62048999) (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).
Orang ramai juga disarankan untuk memuat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store atau Apple Store bagi mengenal pasti sama ada panggilan yang diterima adalah daripada nombor telefon yang tersenarai dalam pangkalan data sistem Semak Mule Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sebagai Scammer. - Bernama