SHAH ALAM - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 supaya calon yang terjejas banjir boleh mendudukinya selepas keadaan reda.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, pendekatan tersebut tidak mustahil dilaksanakan ekoran pernah dibuat ketika negara dilanda Covid-19 dan banjir pada tahun 2022.
"Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang isu keputusan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) meneruskan peperiksaan SPM walaupun dalam keadaan banjir besar. Kemudian ada pula yang kata, 'zaman Radzi pun peperiksaan SPM diteruskan waktu banjir.'
"Ya, memang peperiksaan SPM diteruskan (pada 2022) bagi calon-calon di kawasan yang tidak terkesan dengan banjir, tetapi untuk calon yang terkesan akibat Covid-19 dan banjir, ada sesi kedua.
"Jadi anak-anak ini tidak perlu menduduki peperiksaan dalam situasi yang mengganggu emosi mereka," katanya menerusi hantaran di aplikasi TikTok pada Selasa.
Terdahulu pada Mac 2022, media melaporkan seramai 708 calon SPM 2021 yang terjejas banjir di tujuh sekolah di jajahan Pasir Mas, Kelantan, menduduki kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua April tahun sama.
Calon-calon terlibat sepatutnya menduduki dua kertas peperiksaan itu pada 2 Mac dan 3 Mac 2022.
Dalam pada itu Radzi yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mencadangkan kaedah holistik yang sama bagi mengatasi cabaran semasa ketika ini.
"Pendekatan sesi kedua merupakan kaedah bagi membolehkan sekiranya berlaku apa-apa krisis dan bencana, maka KPM sudah bersedia dengan perancangan untuk membantu calon-calon terlibat.
"Namun apa yang ditekankan adalah sekiranya ada calon yang terkesan dan tidak boleh menduduki peperiksaan, maka KPM perlu adakan sesi kedua untuk memberi ruang kepada mereka," ujarnya.
Fadlina dalam sidang akhbar khas pada Ahad lalu mengesahkan, KPM akan meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah seperti yang dijadualkan.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada pihak keselamatan khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL) yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.