Banjir: Polis Kelantan siap sedia hadapi gelombang kedua

Iklan
Polis Kelantan bersiap siaga menghadapi gelombang kedua banjir Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini dengan aset termasuk dua helikopter. Gambar kecil: Mohd Yusoff

TUMPAT - Polis Kelantan bersiap siaga menghadapi gelombang kedua banjir Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini dengan aset termasuk dua helikopter.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, Pasukan Tindakan Bencana diaktifkan sebelum ini di Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Iklan
Iklan

"Dua helikopter masing-masing satu milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bomba serta kenderaan-kenderaan lain ditempatkan di markas ini untuk operasi banjir.

"Kita bersiap sedia gelombang kedua di semua daerah dan merujuk Met Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjung di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, cuaca cerah dua hari pada Isnin dan Selasa menunjukkan penurunan mangsa daripada lebih 80,000 kepada 44,752 terdiri keluarga 14,236 yang ditempatkan di 97 PPS.

"Jumlah mangsa sudah menurun dan PPS seperti di Jeli sudah ditutup sepenuhnya.

Iklan

"Di Pasir Mas dan Tumpat masih lagi banjir walaupun air surut sedikit dari limpahan Sungai Golok,” katanya.

Berdasarkan analisis model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula petang hari Selasa sehingga awal pagi Rabu.