TEHERAN -"Serangan mengejut yang dilancarkan puak pemberontak di Syria adalah bukti Amerika Syarikat (AS) bersekongkol dengan sekutu kuatnya, Israel.”
Kenyataan itu dibuat jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei pada Isnin setelah beliau yakin konflik baharu di utara Damsyik itu bukanlah satu kebetulan sebaliknya telah dirancang dengan rapi sejurus Tel Aviv mencapai perjanjian gencatan senjata bersama Hizbullah.
Dakwaan itu mungkin benar kerana ia berlaku pada hari sama pelaksanaan tempoh bertenang di Lubnan yang mungkin sebahagian daripada muslihat Zionis untuk memporak-perandakan rantau Asia Barat.
"Tidak syak lagi memang wujud 'kerjasama' antara pengganas tersebut dengan AS dan Israel. Mereka mungkin cuba untuk meruntuhkan Syria yang masih dilanda perang saudara sejak 13 tahun lalu dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan negara Islam.
Kempen pencerobohan disokong kuasa asing itu didalangi Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang sebelum ini dikenali sebagai Jabhat al-Nusra bersama sekutu militia yang lain.
Sehingga ini, ia telah menawan sejumlah perkampungan dan bandar di wilayah Aleppo, Idlib, Hama hingga mencetuskan serangan balas tentera kerajaan disokong Rusia.
Serangan berskala besar pada minggu lalu jelas mencabuli gencatan senjata yang dipersetujui bersama kerajaan hasil usahasama Rusia dan Turkiye pada 2020.
Baghaei menjelaskan, Teheran kini bekerjasama dengan kuasa serantau untuk memulihkan semula tempoh bertenang itu.
"Kita boleh menggunakan Perjanjian Damai Astana yang dilancarkan pada 2017 untuk meredakan perang saudara di Damsyik,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, ratusan anggota militia Iraq yang disokong Iran telah menyeberangi sempadan ke Syria untuk membantu tentera rejim Presiden Bashar al-Assad.
Sementara itu, Hizbullah mengesahkan mereka tidak akan menghantar pasukan ke utara Damsyik buat masa ini memandangkan mereka juga masih menangkis serangan Israel yang berterusan melanggar perjanjian gencatan senjata di Lubnan.
Pada akhir minggu lalu, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi memaklumkan beliau percaya tentera Syria berupaya memerangi HTS dan sekutunya, namun gerakan di bawah Paksi Penentangan anti-Israel siap siaga membantu jika terdapat keperluan mendesak.
Dalam tempoh kurang seminggu, hampir 50,000 penduduk dilaporkan hilang tempat tinggal setelah tiga wilayah utama menjadi medan tempur baharu. - Agensi