MAN maahad tahfiz pertama terima pensijilan ISO45001-2018

Iklan
Syeikhuna Syeikh Muhammad Nuruddin (kanan) menerima sijil ISO45001:2018 daripada Shamsul dalam majlis penyerahan di maahad itu pada Selasa.

BENTONG - Maahad An-Noer (MAN) di Janda Baik di sini melakar sejarah selepas muncul institusi tahfiz pertama di Malaysia menerima pensijilan ISO 45001:2018.

Piawaian antarabangsa pertama di dunia bagi Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OHSMS) daripada NIOSH Certification Sdn Bhd (NCSB), anak syarikat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) itu membuktikan usaha tahfiz tersebut untuk memastikan keselamatan warga MAN.

Iklan
Iklan

Pensijilan berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NIOSH Certification Sdn Bhd, Shamsul Zahrin Zainudin kepada penaung MAN, Syeikhuna Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah Al Banjari Al Makki di maahad itu di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang, Ahmad Fauzi Awang dan wakil Safety Big Event, Abdul Mutalib Mohamed Ali.

Iklan
Hafiz

Mudir MAN, Hafiz Mohd Suid berkata, pensijilan itu mampu menepis persepsi negatif terhadap institusi tahfiz dalam aspek keselamatan susulan beberapa insiden seperti kebakaran yang berlaku sebelum ini.

Menurutnya, langkah mendapatkan pensijilan itu adalah inisiatif MAN untuk memastikan dan menjamin keselamatan warga maahad tersebut yang beroperasi sejak 2015.

Iklan

"Ia juga sebagai penanda aras dan markah tambahan untuk tahfiz ini kerana persaingan yang dihadapi selain dalam perancangan ke arah universiti pondok.

Sebahagian pelajar MAN yang hadir dalam majlis tersebut.

"Kita juga akan mendapatkan pensijilan ISO9001 untuk pengurusan kualiti tahfiz ini pada tahun depan," katanya.

Jelas Hafiz, MAN kini memiliki 230 pelajar iaitu 170 lelaki dan 60 perempuan berusia 12 hingga 30 tahun dari seluruh negara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Kemboja untuk pengajian hafazan tahfiz dan Alim Tafaqquh.

Dengan keluasan kira-kira 0.8 hektar, MAN memiliki 19 tenaga pengajar dan mengenakan yuran bulanan RM490 dan tahunan RM300.

Syeikhuna Syeikh Muhammad Nuruddin (depan) ketika membawa tetamu yang hadir melawat maahad tersebut yang terletak di Janda Baik, Bentong.

Sementara itu, Ahmad Fauzi memuji inisiatif yang diambil oleh maahad tersebut untuk mendapatkan pensijilan berkenaan susulan setakat ini ia tidak diwajibkan mana-mana pihak.

"Kita menggalakkan mana-mana pihak tahfiz dan semua tempat kerja di negeri ini mengambil langkah sebegini untuk menjamin keselamatan mereka," tambahnya.