SHAH ALAM - Kerajaan perlu menghentikan pemberian subsidi sebanyak RM52 juta setahun kepada Singapura.
Pengarah Komunikasi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Na'im Brundage berkata, pengumuman Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bahawa kerajaan tidak akan berunding semula kadar air mentah ke Singapura buat masa ini amat mengecewakan.
Menurut beliau, ia menimbulkan persoalan sama ada Akmal Nasrullah tiada maklumat lengkap atau memilih untuk mengabaikan kepentingan negara dengan alasan kos merawat sendiri air mentah lebih tinggi berbanding membeli terus dari Singapura.
"Mungkin benar, tetapi ia tidak mencerminkan keseluruhan konteks perjanjian berat sebelah itu. Memang betul, kos rawatan RM1.80 meter padu jauh lebih mahal daripada harga air terawat yang kini dibeli pada kadar 50 sen untuk setiap 1,000 gelen.
"Anggaran kos mendapatkan air terawat sebanyak 16 juta gelen sehari (MGD) ini akan meningkat daripada RM2.9 juta setahun kepada RM39.7 juta setahun.
"Namun, kenaikan kos boleh diimbangi jika harga air mentah sebanyak 250 juta gelen sehari yang dijual ke Singapura dinaikkan dari tiga sen setiap 1,000 gelen kepada 60 sen seperti mana pernah dipersetujui Singapura pada 15 Ogos 2000," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Akmal Nasrullah memaklumkan, tiada keperluan untuk mengadakan rundingan semakan kadar air mentah ke Singapura kerana kerajaan ingin mengambil pendekatan yang berhati-hati dan teliti berdasarkan Perjanjian Air 1962.
Jelasnya, keputusan itu dibuat hasil perbincangan pada Oktober lalu antara kementeriannya dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Kata beliau lagi, sebarang perubahan kadar perlu mempertimbangkan implikasi kos pembelian air terawat daripada Singapura yang menjadi keperluan kritikal bagi Johor.
Sementara itu, Na'im berpandangan, keputusan untuk tidak meneruskan rundingan bersama Singapura bagi mendapatkan perjanjian yang lebih adil hanya akan merugikan rakyat kerana golongan berkenaan sepatutnya menikmati manfaat hasil sumber alam negeri tersebut.
"Malaysia boleh meraih pendapatan tambahan sebanyak RM54.7 juta setahun dengan keuntungan RM14.9 juta selepas mengambil kira peningkatan kos merawat air sendiri.
"Mengapa Malaysia, negara berpendapatan pertengahan perlu terus memberikan subsidi RM52 juta setahun kepada negara maju seperti Singapura," ujarnya lagi.