Kerajaan pertimbang naik taraf ban di Sungai Kinta - Kor Ming

Iklan
Pelbagai agensi kerajaan turut membantu kerja-kerja pasca banjir di kawasan Arena Kepayang di Ipoh pada Selasa.

IPOH - Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf ban di sepanjang Sungai Kinta sebagai penyelesaian jangka panjang bencana banjir yang berlaku di kawasan Fair Park di sini pada 1 Disember lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, berdasarkan laporan awal Jabatan Meteorologi dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kejadian banjir itu berpunca daripada hujan lebat luar biasa lebih 13 jam dengan taburan hujan mencecah 92.5mm sejam di kawasan Empangan Ulu Kinta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan awal daripada MBI serta Jabatan Bomba dan Penyelamat pula menunjukkan hujan berterusan di sekitar Ipoh sejak Sabtu lalu telah menyebabkan paras air Sungai Kinta meningkat secara mendadak.

"Keesokan harinya, hujan yang berterusan telah menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan perumahan, menjejaskan kira-kira 200 isi rumah di kawasan Arena Kepayang Putra dan Fair Park.

Iklan

Menurutnya, bagi mengelakkan kejadian sedemikian, kerajaan persekutuan telah meluluskan RM108.5 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Kinta dan Sungai Kampar.

Sementara itu, Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata, pasukan khidmat DAP bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta MBI telah mengambil tindakan segera untuk melaksanakan operasi pembersihan selepas air banjir surut sepenuhnya pada Selasa.

Iklan

Berdasarkan kategori keamatan hujan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), taburan hujan melebihi 60mm sejam diklasifikasikan sebagai hujan sangat lebat, di mana hujan lebih daripada 60 mm dalam tempoh 2 hingga 4 jam boleh menyebabkan banjir kilat.

Kawasan Kinta turut mencatatkan taburan hujan bulanan yang melebihi purata jangka panjang pada bulan November, dengan jumlah sebanyak 370.2mm berbanding dengan purata 298.5mm.