Trump cadang Kanada jadi negeri ke-51 AS di bawah pentadbiran Trudeau - Laporan

Iklan
Donald Trump - Foto: Agensi

MOSCOW - Presiden terpilih, Donald Trump secara berseloroh mencadangkan bahawa Kanada akan lebih baik menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat (AS) sekiranya ekonominya tidak dapat bertahan dengan potensi tarif AS ke atas barangan Kanada, lapor Sputnik.

Pada lewat November, Trump berkata, beliau akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua barangan dari Mexico dan Kanada selepas beliau memegang jawatan, dengan alasan masalah pendatang tanpa izin yang belum diselesaikan dan penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat.

Iklan
Iklan

Dalam satu mesyuarat dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, minggu lepas, Trump menyatakan bahawa Kanada telah mengecewakan AS dengan membenarkan sejumlah besar dadah dan pendatang tanpa izin menyeberangi sempadan serta membiarkan defisit perdagangan antara kedua-dua negara mencecah lebih AS$100 bilion, lapor Fox News.

Trudeau berkata, tarif sedemikian akan merosakkan ekonomi Kanada, kata sumber sambil menambah bahawa Trump kemudian mencadangkan jika Kanada tidak dapat menangani masalah ekonominya, negara itu harus menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat dengan Trudeau sebagai gabenornya. Tindak balas itu dilaporkan mencetuskan"ketawa dalam cemas'’ daripada pihak Kanada.

Iklan

Media AS dan Kanada melaporkan bahawa Trudeau tiba di Florida pada Jumaat lepas dalam satu lawatan yang tidak diumumkan untuk bertemu dengan Trump di kediamannya di Mar-a-Lago.

Perdana Menteri Kanada dilaporkan merancang untuk membincangkan dengan Trump kemungkinan pengenalan tarif ke atas barangan dari Kanada oleh pentadbiran AS yang akan datang, serta isu-isu migrasi.

Iklan

Trump berkata, mesyuarat tiga jam beliau dengan Trudeau adalah 'sangat produktif'. CBC News melaporkan bahawa Trudeau berjanji semasa mesyuarat itu bahawa Ottawa akan memperketatkan keselamatan di sepanjang sempadan kedua-dua negara. - Bernama