BATU PAHAT – Seorang pengawal keselamatan wanita maut terlanggar seekor lembu di tengah Jalan Bypass, Kampung Gombak, Peserai di sini pada Isnin malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, kejadian dianggarkan berlaku sekitar jam 7.45 malam ketika motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bintang menghala ke Kampung Gombak.
"Apabila sampai di tempat kejadian motosikal mangsa dipercayai melanggar seekor lembu yang berada di tengah jalan tersebut.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian organ dalam badan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Tambah beliau, kemalangan tersebut tidak melibatkan mana-mana kenderaan lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.
Tambahnya, informasi juga boleh disalur melalui hotline Polis Kontinjen Johor menerusi 07-2212999 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat 07- 4343999.