54 kali Israel langgar gencatan senjata di Lubnan

Iklan
Bangunan di kawasan kejiranan Hay el-Sellom di pinggir Beirut yang musnah dibedil Israel. Foto Agensi

BEIRUT - Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri pada Isnin mengecam pelanggaran secara terang-terangan gencatan senjata oleh rejim Zionis.

"Tindakan agresif mereka jelas mencabuli syarat perjanjian tempoh bertenang yang dipersetujui pada minggu lalu,” ujar Berri yang menjadi wakil rundingan damai tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 54 pelanggaran telah direkodkan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Rabu lalu.

"Jawatankuasa antarabangsa yang dipertanggungjawabkan untuk mengawasi tempoh bertenang itu perlu segera memainkan peranan mereka dan memastikan pengunduran Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dari Beirut,” tegasnya.

Iklan

Sekurang-kurangnya sembilan terkorban dalam serangan dilancarkan Zionis ke atas perkampungan di selatan Lubnan selepas ia membedil puluhan sasaran milik Hizbullah kononnya sebagai tindak balas terhadap provokasi kumpulan pejuang tersebut.

Israel dan Hizbullah sekali lagi menuding jari menuduh antara satu sama lain melakukan pelanggaran tempoh bertenang itu.

Iklan

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu secara melulu telah mendakwa Hizbullah melakukan pencabulan serius terhadap perjanjian gencatan senjata tersebut dan berikrar untuk memberi respons tegas.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Israel Katz juga mengambil peluang untuk mengancam serangan balas ke atas kumpulan pejuang itu sedangkan tentera mereka yang terlebih dahulu membuat provokasi melampau dengan membedil selatan Lubnan. - Agensi