Operasi SAR cari seorang lagi anggota tentera hanyut diteruskan

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kejadian anggota tentera lemas manakala seorang lagi masih hilang dihanyutkan air deras di Sungai Merah.

GERIK - Pencarian seorang lagi anggota tentera yang dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi Sungai Merah di sini belum menemui petunjuk baharu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan meliputi kawasan sekitar kejadian oleh pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Iklan
Iklan

"Setakat ini seorang lagi mangsa masih belum ditemui. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan bersambung esok pagi (Rabu)," katanya kepada pemberita.

Pada Isnin media melaporkan, seorang anggota tentera ditemui meninggal dunia akibat lemas sementara seorang lagi masih hilang dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi Sungai Merah.

Iklan

Kejadian berlaku pada Jumaat lalu sekitar jam 6 petang semasa kedua-dua mangsa bersama tujuh anggota tentera lain menjalankan tugas gerakan operasi Kota Echo/Foxtrot di kawasan Hutan Royal Belum.

Mangsa lemas dikenali Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin manakala seorang lagi yang belum ditemui dikenali Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi masing-masing berusia 20-an.

Iklan

Laporan kejadian itu diterima polis pada Isnin jam 8.56 pagi.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, jenazah anggota yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan telah dituntut ahli keluarga.

Media dimaklumkan, jenazah Mohd Afandi telah dibawa ke kampung halamannya di Sibu, Sarawak bagi urusan pengebumian.