Hampir 300,000 berdaftar sebagai OKU pembelajaran - Nancy

Iklan
Nancy Shukri ketika sidang akhbar selepas Perasmian Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sebuah hotel hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pada tahun ini hampir 290,000 individu di negara ini dikenal pasti sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) Pembelajaran.

Menurutnya, hingga 31 Oktober lepas, seramai 289,161 berdaftar sebagai OKU Pembelajaran iaitu 26,878 orang lebih ramai berbanding 262,283 pada tahun lepas.

Iklan
Iklan

"Secara positifnya, ini memberikan petanda baik iaitu lebih ramai ibu bapa ada kesedaran untuk mendaftarkan anak sebagai OKU Pembelajaran dan ini akan membantu menghapuskan stigma berkaitan anak OKU,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad serta Senator, Isaiah Jacob.

Iklan

Sehubungan itu, Nancy menekankan mengenai keperluan menyediakan modul atau garis panduan yang komprehensif untuk melindungi, menyantuni dan memperkasakan golongan OKU seiring peningkatan bilangan pendaftaran.

"Oleh itu, kementerian telah pun menjalinkan pelbagai kerjasama strategik dengan universiti untuk membangunkan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak Orang Kurang Upaya (OKU) untuk memastikan golongan itu tidak tercicir daripada dunia arus perdana,” katanya.

Iklan

Beliau berkata dalam pembangunan modul itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bekerjasama dengan tiga universiti tempatan iaitu Universiti Sains Malaysia bertanggungjawab untuk Pembangunan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU Pembelajaran yang Generik.

Universiti Malaya pula untuk Pembangunan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU Autisme serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia terlibat dalam pembangunan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU Sindrom Down.

Nancy turut meminta ibu bapa untuk mendaftar anak OKU kerana data itu akan digunakan bagi merancang pembangunan jangka panjang kerajaan untuk masyarakat OKU.

Pada majlis itu, Nancy turut menyampaikan sembilan anugerah bagi menghargai pencapaian individu dan organisasi yang memberikan sumbangan signifikan terhadap OKU, antaranya Anugerah Khas OKU (Akademik), Anugerah Khas OKU (Usahawan), Anugerah Khas Ibu Bapa Mithali OKU dan Anugerah Majikan Prihatin (Swasta).

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Nancy berkata, bersesuaian tema ‘Memperkasakan Kepimpinan OKU Demi Inklusiviti Mampan’, JKM akan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendaftar sebagai OKU dengan membuka kaunter pendaftaran di pelbagai lokasi.

"Ramai yang masih belum mendaftar kerana tidak tahu keistimewaan yang boleh dinikmati seperti pasport percuma, penggunaan kenderaan awam secara percuma dan kemudahan tempat letak kenderaan khas,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun selepas dimaklumkan mengenai keistimewaan ini, kebanyakan mereka mula menunjukkan minat untuk mendaftar. - Bernama