SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan episod kedua hujan lebat berterusan melanda negara telah tamat pada 26 hingga 30 November 2024 selepas episod pertama antara 19 hingga 22 November lalu.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, analisis model cuaca terkini menunjukkan tiada luruan monsun yang signifikan dalam tempoh beberapa hari akan datang yang mampu menghasilkan hujan lebat berterusan.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, beliau berkata, MetMalaysia akan terus memantau keadaan cuaca secara berterusan dan memberi amaran awal sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya luruan monsun.
"Bagaimanapun, MetMalaysia tetap bersedia untuk memaklumkan orang ramai jika berlaku perubahan cuaca yang berpotensi membawa luruan monsun lebih kuat,” katanya.
Mohd Hisham turut menjelaskan jika berlaku luruan monsun kuat, kawasan pedalaman di negeri barat Semenanjung seperti Perak dan Selangor mungkin menerima tempias hujan lebat yang melimpah dari kawasan timur Semenanjung.
Katanya, tempias itu berlaku lazimnya disebabkan luruan angin timuran yang kuat dari lautan tropika Pasifik dan angin timur laut dari benua Siberia.
Menurutnya, luruan itu membawa hujan berterusan ke kawasan timur Semenanjung dan seterusnya menjejaskan kawasan pedalaman berhampiran.