SEPERTI yang dilaporkan media, untuk tahun ini sahaja jumlah kerugian wang orang ramai akibat ditipu scammer mencecah RM1.78 bilion.
Nilai yang besar itu cukup untuk membina 100 buah sekolah lengkap dengan kemudahan moden atau pun membina 10,000 unit rumah mampu milik.
Dalam kes tertentu, ada masa mangsa yang kerugian hingga puluhan jutaan ringgit.
Mangsa-mangsa itu sudah pasti mengalami tekanan hidup ekstrem hinggakan berlaku cubaan untuk menamatkan riwayat hidup.
Bayangkan wang yang dikumpul hasil penat lelah pada usia muda dengan harapan untuk hidup tenang di usia tua lesap dalam tempoh singkat kerana kezaliman scammer.
Lagi menyakitkan apabila kes-kes itu melibatkan orang yang paling rapat dengan kita seperti ibu bapa atau pun rakan-rakan sepejabat.
Misalnya pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian Malaysia wajar mengikut jejak langkah United Kingdom (UK) memperkenalkan undang-undang lebih ketat ke atas pihak bank bagi memastikan pemilik akaun dilindungi daripada jenayah penipuan kewangan.
Anwar berkata, beliau bersetuju supaya dasar baharu yang diperkenalkan oleh UK sejak 7 Oktober lalu itu dilaksanakan di negara ini.
Katanya, dasar terbabit menetapkan bank perlu membayar balik pampasan atau ganti rugi dalam tempoh lima hari kepada pemilik akaun yang menjadi mangsa scammer bagi jenayah dalam talian.
Melalui penegasan itu, ia menjadikan pihak bank lebih bertanggungjawab dalam memantau sebarang transaksi yang mencurigakan melibatkan pelanggan masing-masing.
Selain itu, cadangan oleh beberapa NGO pada tahun lalu supaya scammer diisytiharkan sebagai musuh negara sama seperti dadah harus diberi pertimbangan dengan serius.
Ini kerana dengan sasaran tersebut, pelbagai perancangan lebih menyeluruh dapat dirangka dan dijalankan untuk membasmi scammer di peringkat akarnya.
Antaranya kerajaan boleh mempertimbangkan strategi khas mematikan saluran yang digunakan scammer untuk memerangkap mangsa.
Diharapkan pakar-pakar IT, komunikasi dan kewangan dapat duduk semeja memikirkan kaedahnya.