IBARAT ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Begitulah realiti kehidupan nelayan kecil yang hanya bergantung kepada hasil tangkapan harian demi kelangsungan hidup.
Pendapatan mereka tidak tetap kerana berdepan pelbagai cabaran seperti keadaan cuaca yang tidak menentu.
Situasi mereka bertambah rumit apabila bot dan peralatan yang digunakan, sudah uzur dan perlu dibaik pulih.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR yang mendengar keluhan dan menyingkap permasalahan nelayan kecil di sekitar Kuala Kedah.
KUALA KEDAH - Semasa hasil tangkapan memuaskan, mungkin mereka dapat menikmati sedikit kelegaan.
Namun ada masanya nelayan kecil pulang dengan tangan kosong selama berhari-hari, menjadikan kehidupan lebih sukar.
Seorang nelayan, Ismail Saad, 56 berkata, tangkapan ikan bergantung kepada keadaan cuaca dan mereka tangkapkan ikan lebih terkesan ketika ini disebabkan oleh fasa peralihan Monsun Timur Laut.
"Nak baiki pukat yang koyak pula memang perlukan modal yang agak besar. Satu masa dalam tempoh dua hingga tiga bulan kita akan ganti dengan yang baharu atau jahit pukat yang koyak terkena tunggul kayu ataupun apa-apa yang berada di dasar laut.
"Kalau nak beli pukat baharu kena ada modal dalam RM800 hingga RM1,000. Biasanya kalau tak mampu kita tukar sekeping ataupun jahit bahagian yang koyak sahaja untuk sementara waktu.
"Ada masanya nelayan kecil seperti kami terpaksa berhutang dan bila dapat hasil baru kami bayar hutang tersebut. Bila kami turun ke laut ada masanya berhari-hari pulang tangan kosong,” katanya ketika ditemui di Jeti Pendaratan Ikan Kampung Seberang Kota, di sini.
Jelas Ismail, hasil yang diperoleh juga perlu dibahagi dengan pekerja atau nelayan yang turun bersama ke laut, selepas menolak perbelanjaan kos seperti minyak diesel.
Menurutnya, kos harga barang yang meningkat juga memberikan tekanan kepada golongan berkenaan yang perlu menguruskan perbelanjaan dengan sebaik mungkin.
"Pernah suatu masa dapat hasil RM25 sehari dan perlu fikir untuk beri upah kepada pekerja lagi. Ada masa dapat hasil ikan pun nak jual pun tidak lepas, boleh digunakan untuk lauk rumah sahaja,” ujarnya.
Muniz Ali, 49, dari Kampung Tebengau, di sini pula berkata, hasil tangkapan ikan yang tidak seberapa perlu digunakan secara berhemah untuk kegunaan keluarganya.
Menurutnya, disebabkan perkara itu, mereka perlu mengumpul wang untuk menggantikan pukat yang rosak namun ada kalanya mengambil masa lama sebelum dapat membeli pukat baharu.
"Bila dapat hasil jual ikan disimpan untuk beli pukat dan sebagainya tapi apabila ada kecemasan yang memerlukan duit, kita terpaksa keluarkan juga duit yang disimpan itu,” ujarnya.
Kerajaan diminta tambah penerima elaun, tingkat pelepasan anak ikan
Kerajaan diminta menambah bilangan penerima elaun sara hidup nelayan yang kini dinikmati kira-kira hampir 40,000 penerima di seluruh negara.
Pengerusi Persatuan Pendidik dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Che Ani Mat Zain berkata, pihaknya berharap jumlah penerima dapat ditingkatkan kerana terdapat lebih 60,000 nelayan kecil yang masih memerlukan bantuan dan perhatian daripada kerajaan.
Menurutnya, keprihatinan kerajaan dalam melonggarkan permohonan elaun itu mampu membantu meringankan beban nelayan yang benar-benar memerlukan.
"Ramai nelayan kecil yang mengeluh kerana tidak menerima elaun sara hidup ini. Agensi berkaitan perlu melihat kembali prosedur operasi standard permohonan elaun kerana ada dalam kalangan mereka yang sangat memerlukan terutamanya pada peralihan Monsun Timur Laut ini kerana ikan sangat kurang,” katanya.
Jelas Che Ani, kehidupan nelayan kecil bergantung kepada pendapatan harian hasil yang diperoleh di laut.
Mengulas mengenai dakwaan nelayan kecil bahawa hasil ikan semakin berkurang di perairan negara, beliau mengakui perkara tersebut, malah masalah itu telah lama dibangkitkan.
Katanya, aktiviti penangkapan secara haram seperti penggunaan pukat tunda telah mengancam pembiakan ikan.
"Agensi penguatkuasaan di perairan negara digesa meningkatkan kawalan dalam membanteras aktiviti tangkapan ikan secara haram ini.
"Pihak berkuasa perlu menyita bot yang melakukan kesalahan sama berulang kali, agar menjadi pengajaran kepada pemilik bot yang lain supaya tidak melakukan perkara sama,” ujarnya.
Tambahnya, Jaring juga berharap agar pelepasan anak ikan dapat ditingkatkan di seluruh perairan negara bagi meningkatkan bekalan dan populasi ikan.
Katanya, kerajaan juga perlu memperuntukkan dana untuk menambah jumlah tukun tiruan di kawasan strategik sebagai antara langkah untuk mencegah penggunaan pukat tunda.
"Tukun ini bukan sahaja mampu jadi tempat pembiakan ikan, tetapi pada waktu sama mampu menghentikan aktiviti pukat tunda haram kerana apabila tersangkut pada tukun, ia akan rosak dan tidak dapat digunakan lagi,” katanya.