DI media sosial banyak paparan iklan drama televisyen yang melibatkan naratif konflik dalam kehidupan seperti masalah keluarga, wujud orang ketiga, kekerasan, penderaan dan unsur dramatik melampau.
Bukankah paparan di kaca televisyen itu boleh menjadi ikutan penonton terutama dalam kalangan generasi muda yang ingin memulakan rumah tangga?
Manakan tidak, setiap tayangan drama berkenaan membawa penceritaan yang negatif mungkin mendatangkan keburukan kepada penonton.
Ada drama yang mempunyai maksud tersirat dalam penceritaan sehingga ditiru oleh mana-mana golongan muda bawah umur.
Drama berepisod tersebut yang sepatutnya menjadi tontonan golongan dewasa juga menjadi tarikan kepada anak muda kerana kaca televisyen di rumah adalah untuk semua.
Bagaimanapun, semakin ramai yang mula melontarkan kebimbangan terhadap kesan negatif kandungan drama tempatan terhadap mentaliti rakyat.
Walaupun tema berkenaan mungkin menarik perhatian penonton, namun ia boleh menimbulkan kebimbangan bahawa penceritaan itu secara tidak langsung mempengaruhi cara berfikir dan tingkah laku masyarakat.
Selain itu, pendedahan berulang terhadap unsur negatif dalam drama boleh membawa kepada normalisasi konflik dan sikap tidak sihat dalam sesuatu hubungan.
Bagi penulis, apabila penonton terutama remaja kerap menyaksikan pergaduhan, manipulasi emosi atau tingkah laku toksik sebagai sesuatu yang biasa, ia boleh mempengaruhi cara mereka menilai hubungan dalam kehidupan sebenar.
Ketiadaan watak yang memberikan contoh penyelesaian masalah secara matang sering menjadikan konflik sebagai fokus utama tanpa memberikan solusi yang membina.
Sementara itu, drama televisyen juga sering dikritik kerana mengukuhkan stereotaip jantina dan sosial.
Watak wanita sering digambarkan sebagai lemah, teraniaya atau terlalu bergantung kepada lelaki.
Sebaliknya bagi lelaki, ia dilihat seperti menguasai sesuatu perkara atau dominan tetapi tidak bertanggungjawab.
Ia bukan sahaja gagal memperkasakan wanita, tetapi hanya mengukuhkan pandangan bahawa golongan itu tidak perlu bertindak matang dalam hubungan atau keluarga.
Justeru, industri drama tempatan digesa untuk memperbaharui pendekatan mereka terhadap naratif dan tema yang ingin diketengahkan.
Dalam hal ini, penggiat seni perlu lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.
Penulis skrip dan penerbit drama perlu sedar bahawa mereka bukan sekadar mencipta hiburan, namun membawa amanah untuk membentuk cara serta mentaliti masyarakat melihat dunia sebenar.
Penerbit drama disarankan menerbitkan lebih banyak drama memaparkan tema inspirasi seperti nilai kekeluargaan, persahabatan sejati, dan perjuangan mencapai kejayaan, yang mampu memberikan impak positif kepada penonton.
Sebahagian besar penonton turut bersetuju bahawa drama tempatan perlu lebih realistik dan memberikan mesej yang membina.
Namun, ada juga yang berpendapat bahawa isu ini bergantung kepada kebijaksanaan individu untuk menilai kandungan yang ditonton.
Penonton sepatutnya memilih drama yang sesuai dan tidak terpengaruh dengan elemen negatif.
Kita juga boleh memberi tekanan kepada stesen televisyen untuk menghasilkan kandungan berkualiti.
Sebagai medium hiburan yang mempunyai pengaruh besar, drama televisyen perlu bertanggungjawab dalam membentuk corak pemikiran rakyat kini.
Penonton, penggiat seni dan pihak berkepentingan sepatutnya bekerjasama untuk memastikan drama tempatan untuk menjadi cerminan masyarakat yang sihat serta progresif.
Jika perubahan tersebut tidak dilaksanakan, maka risiko untuk terus mewariskan budaya negatif kepada generasi akan datang adalah nyata.
Medium hiburan sepatutnya menjadi platform untuk rakyat melepaskan tekanan setelah seharian bekerja, bukan mementingkan jumlah tontonan atau ratings semata-mata.
Bagi penulis, rakyat akan lebih penat dari segi fizikal dan mental sekiranya menonton drama yang tidak membina pada waktu istirahat masing-masing.
* Qurratul Aina Quddus ialah wartawan meja am Sinar Harian.