MANILA - Salah sebuah kapal selam halimunan canggih milik Rusia telah dikesan di perairan Laut China Selatan yang dituntut Filipina.
Presiden Ferdinand Marcos Jr menerusi sidang akhbar pada Isnin mengesahkan kehadiran kapal selam itu di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).
"Sebarang pencerobohan di Laut Filipina Barat di EEZ adalah situasi yang sangat membimbangkan,” ujarnya.
The Philippine Daily Inquirer melaporkan kapal selam penyerang, Ufa 490 itu naik ke permukaan pada jarak 148 kilometer di barat wilayah Mindoro pada 28 November lalu.
Sementara itu, tentera laut Filipina memaklumkan ia mengerahkan frigat peluru berpandu, BRP Jose Rizal untuk menjejaki kapal selam tersebut.
"Pada masa itu, ia memaklumkan sedang menunggu cuaca bertambah baik sebelum meneruskan perjalanan ke Vladivostok,” kata jurucakapnya, Laksamana Muda, Vincent Trinidad.
Agensi berita Tass di Moscow juga melaporkan Ufa bersama kapal tunda penyelamat, Alatau ‘beroperasi’ di Laut China Selatan selepas singgah di pangkalan tentera laut RMN Kota Kinabalu pada 23 November lalu untuk lawatan pelabuhan dan mengadakan latihan.
"Ia dijadualkan menyertai semula Armada Pasifik Rusia di Semenanjung Kamchatka di wilayah Timur Jauh,” jelas laporan itu lagi tanpa memberikan butiran lanjut.
Trinidad cuba meredakan kebimbangan banyak pihak dengan menyatakan ia bukan satu ancaman.
"Kami cuma terkejut dengan kemunculannya kerana Ufa adalah kapal selam yang sangat unik,” jelasnya lagi.
Beberapa pakar mendakwa insiden itu adalah sebagai peringatan tegas kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa Moscow sentiasa siap siaga untuk membantu Beijing susulan ketegangan semakin meningkat di perairan yang menjadi pertikaian multilateral tersebut.
"Kemunculan kapal selam siluman ke permukaan yang ternyata bertentangan dengan fungsi sebenar Ufa mungkin disengajakan. Rusia mahu menyatakan ‘kami sudah sampai di sini’ kepada AS.
"Moscow juga cuba memberi amaran secara halus kepada Washington bahawa mereka akan bertindak balas jika wujud ancaman terhadap sekutunya (China),” kata Dr Eduardo Araral di National University of Singapore.
Araral menjelaskan ia bukanlah perkara mengejutkan kapal selam Rusia kini beroperasi Laut China Selatan berikutan Kremlin sebelum ini terlibat dalam latihan ketenteraan bersama sekutu Pasifik mereka.
"Moscow merupakan sekutu rapat China. Sudah tentu mereka akan menerima undangan Beijing untuk menyertai latihan ketenteraan bersama,” jelasnya.
TITIK PEREBUTAN BAHARU
Pada September lalu, Rusia dan China menjalani latihan ketenteraan terbesar digelar Ocean-2024 membabitkan lebih 400 kapal perang serta kira-kira 120 pesawat dan 90,000 anggota tentera.
"Moscow mahu mempamerkan kehebatan mereka dengan mengerahkan sumber tentera mereka ke wilayah Indo-Pasifik dan pada masa sama masih berperang dengan Ukraine.
"Beijing juga mengambil peluang untuk menayangkan hubungan erat dengan Rusia dan menuntut hak di perairan Laut China Selatan serta sekitar Jepun,” ujar pakar keselamatan serantau di International Christian University di Tokyo, Dr Stephen Nagy.
Filipina yang merupakan sekutu lama AS terlibat konfrontasi semakin tegang dengan China sejak pengambilalihan tampuk pemerintahan oleh Marcos Jr pada 2022, malah beliau kini menggunakan pendekatan lebih agresif berbanding pendahulunya, Rodrigo Duterte.
Beberapa insiden pelang-garan bot Beijing dan kapal bekalan semula milik Manila telah dilaporkan sejak akhir-akhir ini hingga mencetuskan ketegangan di perairan berkenaan.
Terbaharu, sebuah helikopter milik China dilihat berlegar-legar di ruang udara ketika sekumpulan bot nelayan Filipina berada di luar perairan Terumbu Iroquis iaitu kawasan strategik di Spratly pada 28 November lalu.
Kawasan berkenaan menjadi titik perebutan terbaharu antara Manila dan Beijing selepas militia China didakwa menceroboh kawasan itu sebagai persediaan untuk membina sebuah lagi pulau buatan haram di perairan sensitif tersebut. - Agensi
--- INFO
- Ufa merupakan salah satu daripada enam Projek 636.3 kapal selam penyerang digelar sebagai black hole kerana paling halimunan dalam armada kapal selam milik Rusia.
- Ia adalah kapal selam kelas Kilo dikuasakan oleh enjin diesel dan enjin elektrik hibrid yang dinaik taraf untuk menjadikannya lebih senyap apabila bergerak di dasar laut. Ia dipersenjatai dengan misil cruise Kalibr yang digunakan dalam serangan Moscow ke atas Ukraine.
- Ufa ditauliahkan pada 2022 dan pada mulanya digunakan untuk meronda di Laut Baltik.
- Pada Oktober lalu, Tass melaporkan kapal selam itu dikerahkan dari Baltik ke Pasifik untuk memperkuatkan Armada Tentera Laut Rusia di Timur Jauh.